Kenyataan Naib Presiden AMANAH, Husam Musa bahawa undi Pas haram dan undi Pakatan Harapan (PH) wajib di satu ceramah di Mengkebang, Kuala Krai Sabtu lalu tidak perlu dipertikaikan sesiapa.
Naib pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata semua tindakan anak Adam adalah tertakluk kepada hukum yang telah ditetapkan.
Mengundi dan kerja kerja pilihan raya menurutnya adalah sebahagian daripada amalan anak Adam di Malaysia.
“Di segi hukum syarak, semua amalan “mukallaf” yakni manusia yang sempurna taklifnya dengan Allah, tidak akan terlepas daripada lima hukum sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan harus,” katanya.
Perbuatan yang sama pula katanya, mengikut kaedah feqah, lima hukum ini boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat dan sebab.
“Ini berdasarkan kaedah hukum boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat dan keadaan,” katanya.
Beliau mengmabil contoh tentang hukum berkahwin bagi seorang pemuda yang belum bekerja adalah harus.
Tetapi minggu depan hukum berkahwin ke atas pemuda tersebut menjadi wajib bila dia tidak mampu lagi mengawal nafsu syahwatnya,” katanya.
Pada zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik katanya, mengundi Pas ketika itu mungkin wajib.
“Tetapi mengundi Pas dalam PRU14 ini boleh menjadi haram kerana Pas sekarang sudah tidak serupa lagi dengan Pas di zaman itu,” katanya.
Beliau bertegas bahawa memilih pemimpin yang lemah dan terbukti telah gagal adalah haram bila ada pemimpin yang lebih baik daripadanya dari segi kepimpinan, syakhsiah dan ilmu.
“Manakala melantik seorang pemimpin yang berkaliber, diyakini berkemampuan adalah wajib berbanding mengekalkan pemimpin yang sedia ada yang ternyata lemah dan gagal,” katanya.
Beberapa media melaporkan Husam Musa mengeluarkan pendapat tegas bahawa haram hukumnya sekiranya mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
“Mengundi ini melibatkan hukum, PAS kata haram kalau tak undi bulan.
“Kita kata tidak, sebaliknya haram undi bulan. Ini ambo (saya) nak pegang. Nak tahu yang mana betul, kita berdebatlah,” katanya ketika berceramah di Kuala Krai.
Kenyataan ini menimbulkan perdebatan hangat di media sosial antara penyokong dan penentang pendapat beliau berkenaan.
No comments:
Post a Comment