Sunday, March 25, 2018

Undang-undang berita palsu senjata UMNO tutup mulut parti lawan


Roketkini.com/ Kredit foto: Buletin Mutiara


Banyak mana pun undang-undang digubal dan diluluskan, ia tidak akan bermakna tanpa penguatkuasaan adil dan telus.

Sebab itu, cadangan kerajaan UMNO memperkenalkan undang-undang berita palsu yang bakal dibentangkan di Parlimen kali ini mendapat kritikan oleh pemimpin pembangkang khususnya dari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengenalan undang-undang berita palsu didakwa didalangi agenda tersembunyi UMNO sebagai ‘senjata’ baru untuk memberi tekanan dan mengganggu pemimpin dan penyokong HARAPAN.

Semalam, dua aktivis DAP iaitu Satees Muniandi dan David Maeshel didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia ekoran pendedahan mereka mengenai pemberian kontrak kepada individu tertentu oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam.

Terlebih dahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia gara-gara video yang memuatkan lagu anti-GST ketika melancarkan pusat tuisyen percuma.

Setiausaha Agung DAP itu turut membangkitkan persoalan terhadap penguatkuasaan yang tidak adil kepada pemimpin HARAPAN.

“Saya diganggu dan dihina banyak kali dan saya failkan saman fitnah.

“Tetapi jika begini caranya (kerajaan menggunakan Seksyen 233), mereka sepatutnya kejar banyak pemimpin BN yang buat kenyataan berunsur perkauman. Kenapa tidak ada tindakan?” katanya lapor The Malaysian Insight.

Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy pula berkata, akta sedemikian akan kerap digunakan ke atas pemimpin pembangkang negara ini.

“Menjelang pilihan raya, saya fikir akta ini akan kerap digunakan,” katanya pada sidang akhbar tengah hari tadi.

Menurut beliau, kes melibatkan Satees dan David memadai dengan tindakan saman fitnah.
“Kenapa mereka berdepan tuduhan jenayah?” soal beliau. – Roketkini.com



No comments: