JAUH sebelum datangnya Islam dan Kristian, orang sudah mengenal turban. Selembar kain yang panjangnya lebih kurang sedepa, diputar lilit di kepala dengan beraneka gaya.
Di Mesopotamia, wilayah yang kini terletaknya Iraq, timur Syria, tenggara Turki dan barat daya Iran, pada 2350SM, ada bukti arca manusia berturban milik seorang raja. Malah 200 tahun lebih awal, di Sumeria dan Babylon kita juga menemukan hal yang sama pada patung-patung tuhan.
Hari ini, orang Sikh mengangkat kain pelindung rambut itu sebagai sesuatu yang kudus sehingga konflik-konflik budaya akhirnya tidak terelakkan.
Ketika perang dunia pertama dan kedua, tentera Sikh menolak untuk memakai topi keledar perang sewaktu bersama panji tentera British.
Di penjara-penjara, setelah mereka memilih untuk tidak lagi bersama British, ramai yang tidak mahu mencabutnya termasuklah seorang cendekiawan dan aktivis sosial dari Punjab, Bhai Randhir Singh sekitar 1914 hingga 1931 kerana menjadi sebahagian daripada gerakan pembebasan Ghaddr.
Turban yang disebut sebagai Dulban oleh orang Parsi itu menjadi popular dan pada abad ketujuh belas, ia mula dianggap fesyen dan kemudian menjadi sebahagian daripada aksesori kaum perempuan.
Turban bukan hanya satu jawapan bagi menutupi rambut yang tidak rapi, tetapi ia turut ditempelkan dengan makna keindahan. Makna ini, misalnya, ditangkap jelas oleh Johannes Vermeer, seorang pelukis Belanda yang pada waktu itu menghasilkan satu lukisan ikonik bertajuk "Girl With a Pearl Earring", memaparkan seorang gadis cantik memakai turban terurai gaya Turki.
Malah di Turki, kita bertemu dengan kata "tülbent". Bagi para perempuan di negara yang pernah menjadi anti tudung itu, tülbent melambangkan status sosial dan memiliki martabat yang tinggi.
Seperti kata satu bidalan orang Turki yang berbunyi, "Selepas bangun, perkara pertama adalah kepala, kedua makan, dan kemudian kerja".
Ketika pemakaian turban menjadi semakin khas dan tempatan, pelbagai variasi istilah muncul.
Adapotia atau usnisa seperti yang dipakai oleh Indrani isteri Indra dalam kitab Veda atau kebanyakan perempuan di India.
Kita juga menemukan pangri di Pakistan dan phakeolis dalam kalangan orang Rom. Di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Indonesia, kita memahami dengan kata serban atau "sorban" dan ia dipakai oleh tidak hanya laki-laki, tetapi juga perempuan.
Perubahan huruf l kepada r pada kata tülbent terjadi di India Portugis dan kata ini kemudiannya sampai kepada orang Inggeris. Di Inggeris, turban difahami dengan makna yang lebih sejagat.
Ia tidak lagi eksklusif kepada sesuatu kaum, agama mahupun parti politik, seperti dulban hitam atau putih yang dikenakan oleh bekas pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khomeini. Atau serban yang dipakai oleh ramai penyokong parti PAS hari ini.
Malah, istilah yang mengandung makna gaya pukul rata ini bersifat inklusif. Sejarah perkembangan turban tidak hanya berbaur agama, tetapi juga budaya. Orang memakai turban bukan hanya sebagai ibadat, tetapi juga sebagai aksesori kecantikan dan kelengkapan budaya.
Di United Kingdom, ia sama diraikan oleh laki-laki dan perempuan seperti yang sudah menjadi identiti Camila Batmanghelidjh,seorang usahawan sosial British.
Kita juga melihat tradisi yang sama dalam masyarakat Kristian, tanpa mengenal jantina.Kata turban kini memiliki makna yang lebih cair dan mengalir. Pemakaiannya tidak mengenal batas jantina mahupun agama.
Lalu kita menjadi pelik ketika ada orang yang mengatakan bahawa meluncurkan turban, apatah lagi memakainya di kelab-kelab malam sebagai haram.
Kita menjadi lebih bingung ketika tindakan undang-undang mahu dikenakan kepada mereka yang berbuat demikian atas tuduhan menghina agama, dan kita tertanya-tanya sejak bila turban mula menjadi simbol eksklusif Islam yang tidak boleh diraikan oleh orang lain?
Di Zouk, awal minggu lalu, Neelofa akhirnya dihadapkan dengan pertimbangan antara agama dan fesyen. Ia, walau jelas berdiri sebagai peraga fesyen, terpaksa memikul beban berat agama yang turut disangkut pada dirinya.
Sebagai seorang perempuan Muslim, ia dianggap sebahagian dari yang lain dan orang semacam merasa memiliki hak ke atas dirinya. Neelofa berbicara dengan sebahagian orang yang sudah menganggap sehelai kain yang dililit dengan pelbagai gaya di kepala ini sebagai suci dan tidak boleh dibawa main.
Usahawan wanita itu berhadapan dengan masyarakat yang obsesi mereka untuk tampil sebagai Muslim sudah melampaui penekanan terhadap intipati sebagai seorang Muslim. Sehingga banyak hal telah disimbolkan dan diberi makna-makna eksklusif agama, baik turban mahupun sebatang kayu sugi.
Simbol-simbol "suci" ini kemudian bermati-matian diperebut dan dipertahankan, seperti banyak simbol lain yang pernah dibela oleh sebahagian daripada masyarakat kita. Sekali lagi kita jatuh keliru.
Jangan-jangan kita sudah kembali ke zaman lalu, menemui tuhan baru pada objek-objek dan turban adalah salah satu daripadanya?
* Mohd Izzuddin Ramli merupakan penulis dan penterjemah. Beliau bekerja sebagai penyelidik di Institut Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment