KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk
Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd kini sedang disiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan akaun hampir RM1
juta di Australia.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki
berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada
seorang pemberi maklumat semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemberi maklumat itu
yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Pada mulanya kami dengar mengenai kes itu daripada satu sumber terbuka
dan kami tidak boleh terus mengambil tindakan. Seperti kami katakan
sebelum ini, kami menghormati siasatan dalaman polis dan kenyataan
dibuat timbalan perdana menteri.
“Kami akan mempertimbangkan dan dengan maklumat terbaru yang kami
terima daripada pemberi maklumat itu semalam, kami akan memulakan satu
siasatan secepat mungkin,” katanya kepada akhbar itu.
Beliau yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata,
pegawai penyiasat SPRM akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes
itu daripada Bukit Aman dan polis Australia.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai memberi ruang kepada
pihaknya untuk menjalankan siasatan dan tidak membuat spekulasi.
“Kes ini berlaku di Australia pada 2016. Jadi, kami perlu mendapatkan
maklumatkan berkaitan daripada pihak berkuasa Australia dan polis
persekutuan (negara itu).”
Ahad lalu, Azam dilaporkan berkata, SPRM menerima hasil siasatan
dalaman polis yang membersihkan Najmuddin daripada sebarang salah laku.
No comments:
Post a Comment