KEMAMAN: PAS Negeri Selangor mengingatkan Menteri Besar Pakatan Harapan
(PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan itu bakal tumbang
pada PRU14.
Ini kerana, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi
kerajaan negeri PH yang diketuai PKR sudah memalukan serta menafikan hak
13 wakil rakyat PAS di negeri itu.
"Hari ini kita (wakil rakyat) dinafikan mendapat peruntukan Kerajaan
Negeri Selangor. PAS Selangor sama dengan PAS Terengganu yang tidak
mendapat peruntukan kerajaan negeri masing-masing.
"Mungkin Azmin Ali (Menteri Besar) berfikir dengan dia tidak beri
peruntukan kepada kita, jadi payah untuk kita hendak jinakkan hati
orang. Maknanya, dia (Azmin) tidak bergantung kepada Allah tetapi
bergantung dengan duit, dengan makhluk.
"Sambutan Karnival 10 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini PH.
Semua Exco diberikan ruang dan peluang untuk bercakap tentang
kejayaan-kejayaan yang lalu sampai hari ini kecuali Exco-exco daripada
PAS.
"Sedangkan, dia minta peruntukan kelulusan kerajaan negeri sebanyak
RM612,000 untuk buat program itu. Tiga orang Exco kita dimalukan dalam
program itu. Kita masih lagi dalam kerajaan Selangor tetapi tidak
diberikan peruntukan dan ini tidak berlaku dalam sejarah," katanya
dipetik Harakahdaily.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS
Kawasan Kemaman Kali Ke-58 di Dewan Mujamma Pusat Pangajian Taman Islam,
di sini kelmarin.
Ustaz Sallehen yang juga ADUN Sabak mengingatkan mengenai sejarah
kejatuhan Kerajaan BN Selangor di mana tindakan Dr Mohamad Khir Toyo
mantan Menteri Besar memalukan pegawai kerajaan dengan hadiah penyapu
dibenci oleh rakyat.
"Saya teringat zaman Khir Toyo diakhir menjadi Menteri Besar Selangor
tempoh hari. Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada seorang Yang
Dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Selangor.
"Seluruh rakyat menjadi benci dengan perangai Khir Toyo kerana itu satu
penghinaan. Seorang pegawai kerajaan dihina oleh Khir Toyo, Barisan
Nasional tumbang di Selangor.
"Hari ini, 13 orang wakil-wakil rakyat PAS dan Exconya dimalukan oleh
PKR, PH. PH juga akan tumbang di negeri Selangor, InsyaAllah," ujarnya
disambut laung takbir hadirin.
Menurutnya, perjuangan PAS tidak bergantung harap kepada manusia semata-mata tetapi yakin dengan pertolongan Allah SWT.
Sebenarnya, kata Ustaz Sallehen lagi, duit tidak dapat menjinakkan
hati-hati manusia tetapi Allah S.W.T yang boleh menjinakkan hati-hati
manusia.
No comments:
Post a Comment