Friday, March 9, 2018

Sallehen cabar PH umumkan siapa calon MB Selangor PRU14

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mencabar Pakatan Harapan (PH) menamakan calon Menteri Besar Selangor jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Sallehen berkata jika PH benar-benar yakin akan terus mentadbir Selangor, pakatan empat pembangkang itu tidak akan teragak-agak mengumumkan siapakah calon menteri besar.
 
"Jika PH benar-benar bersedia untuk mentadbir negeri Selangor, PAS ingin mengetahui calon menteri besar yang ingin dicadangkan, jika benar PH kini berada dalam keadaan utuh.
 
"Jika pada peringkat awal sudah bercelaru, bagaimana hendak mentadbir negeri selepas ini," soal Sallehen ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Sallehen berkata, bukan sahaja PAS malah rakyat juga ingin mengetahui siapakah calon menteri besar PH berikutan penyandang sedia ada, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali sebelum ini dikritik sebagai 'tidak layak menjadi menteri besar' oleh sekutunya sendiri.
 
Bukan itu sahaja, Azmin turut dilabel sebagai 'badut' oleh pemimpin Amanah Selangor selain dicop DAP negeri itu dengan jolokan 'tidak layak menjadi pengerusi PH Selangor' selepas masing-masing tidak berpuas hati dengan cara ADUN Bukit Antarabangsa itu mengendalikan agihan kerusi sesama mereka.
 
"Kenyataan dari PAN (Amanah) yang menyatakan Azmin Ali tidak layak menjadi Menteri Besar dan DAP juga menyatakan Azmin Ali tidak layak menjadi Menteri Besar. Jadi, apakah (mesej) yang ingin disampaikan?," soal Sallehen.
 
Berbeza dengan PAS Selangor, Sallehen berkata semua calon yang dipertaruhkan partinya untuk bertanding di kerusi DUN negeri itu layak untuk menjadi menteri besar, jika diperkenan Sultan Selangor.
 
Ini berikutan PAS kali ini menurunkan calon yang lebih bertenaga, berwibawa dan profesional disamping mengekalkan ADUN yang menang pada PRU13.
 
"Semua ADUN-ADUN PAS yang dipilih pada kali ini merupakan calon yang layak untuk menjadi menteri besar. PAS bukan bergerak secara individu, tetapi sangat kompoten untuk menyediakan calon-calon yang secara keseluruhannya melalui satu proses pentarbiyahan sejak dari awal lagi. 
 
"Jadi, InsyaAllah PAS akan menyediakan calon-calon yang baik, tidak melakukan rasuah, tahu akan dosa dan pahala dan bersih yang akan memudahkan Tuanku untuk melakukan pemilihan jika PAS menang dalam pilihan raya.
 
"Calon-calon yang telah memenangi pilihanraya akan dikekalkan dan sebahagian besar, PAS akan mengemukakan calon-calon muka baru yang profesional, bertenaga, baik dan berwibawa yang lahir daripada proses pentarbiyahan PAS sendiri," katanya.
 
PRU14 yang dijangka akan diadakan dalam beberapa minggu sahaja lagi akan menyaksikan PAS bersama rakan strategik mereka dalam Gagasan Sejahtera (GS) bertanding melawan PH dan Umno Barisan Nasional (BN).
 
PAS sebelum ini menyatakan keyakinan akan menang di 40 kerusi parlimen pada PRU14 meskipun menghadapi saingan tiga penjuru.
 
 

No comments: