KUALA TERENGGANU: Parti Islam
Se-Malaysia (PAS) kini telah membuat tiga keputusan besar parti sebagai
persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS
telah menerima dan meluluskan keahlian parti Barisan Jemaah Islamiah
Se-Malaysia (Berjasa) sebagai anggota komponen Gagasan Sejahtera (GS).
"Kita (PAS) telah pun menerima dan meluluskan keahlian parti
Berjasa sebagai parti komponen kita dalam Gagasan Sejahtera melalui
mesyuarat pada hari ini.
"Kedua, kita juga menerima permohonan daripada Parti Ikatan untuk
mereka menggunakan lambang PAS dalam pilihan raya (PRU14) kali ini.
Mengikut taklimatnya, parti Ikatan tidak bertanding banyak kerusi dan
dia (Ikatan) tubuh parti pun bukan hendak bertanding sangat tetapi untuk
bantu kemenangan PAS dalam pilihan raya pada kali ini.
"Ketiga, kita (PAS) juga membuat keputusan untuk buat satu program
besar, Syarahan Perdana pada 11 Mac 2018 ini bersama Tuan Guru Presiden
PAS (Dato Seri Abdul Hadi) bagi menjelaskan kepada golongan-golongan
pertengahan, orang akademik, pakar-pakar dan sebagainya ke mana halatuju
PAS bersama Gagasan Sejahtera.
"Kita harap keputusan besar ini akan menjadi lonjakan besar kepada
parti dan sekaligus kita akan lancarkan Manifesto PAS Pusat,
InsyaAllah," jelasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS
Kawasan Kemaman Kali Ke-43 di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala
Terengganu, Kuala Ibai, di sini semalam.
Menurutnya, Gagasan Sejahtera diperkenalkan oleh PAS sebagai
pandangan blok ketiga yang tidak bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan
Pakatan Harapan (PH).
Katanya, blok ketiga adalah golongan rakyat yang tidak bersetuju
dengan kepimpinan BN, Dato' Sri Najib Razak dan PH yang diterajui oleh
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dato' Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli partinya bahawa PAS
sebuah parti besar yang memerlukan pemimpin dan ahli berjiwa besar.
"Tapi, jiwa besar kita (PAS) sedia untuk lihat mana ruang untuk kita capai kemenangan bersama blok Gagasan Sejahtera ini.
"Bila kita (PAS) perkenalkan Gagasan Sejahtera ianya tidak termasuk
Barisan Nasional dan tidak ada Pakatan Harapan. Politik Malaysia adalah
politik dua wajah sejak merdeka sampai sekarang iaitu wajah pembangkang
dan wajah kerajaan.
"Oleh kerana, PAS tidak bersama Pakatan Harapan (maka) dituduh PAS
bersama kerajaan (BN). Kita tegaskan PAS tidak bersama Umno-BN dan tidak
juga bersama Pakatan Harapan.
"Kita ada pandangan (blok) ketiga. Kita (PAS) bawa gagasan blok
ketiga dengan Gagasan Sejahtera. Blok ketiga yang rakyat tidak setuju
dengan Umno-BN yang zalim kepada rakyat dan rakyat juga tidak setuju
dengan Pakatan Harapan yang memanggil balik Tun Dr Mahathir," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya PAS mengambil pendekatan tersendiri
menghadapi pilihan raya dan tidak mahu menjadi alat kepada pihak lain.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala
Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, pemimpin veteran PAS, Dato
Mustafa Ali dan Dato Wan Abdul Mutalib Embong serta Ketua Dewan Himpunan
Penyokong PAS Kuala Terengganu, Jefri Chua.
Beberapa acara sampingan diadakan iaitu pertandingan Semarak Hijau,
pelancaran Kuala Terengganu Medical Team, anugerah As-Sabiqun setiap
wakil Dewan Undangan Negeri (Dun) dan pelancaran buku Menjejaki Insan
Pilihan karangan Dr Mohamad Hamdam Mohd. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment