Sunday, March 11, 2018

PRM Akan Tanding 20 Kerusi Di Selangor

 
 



Selain daripada tiga blok parti, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PAS-Gagasan Sejahtera, satu lagi parti yang bakal bertanding di Selangor adalah Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Setiausaha PRM Selangor, Jenice Lee berkata partinya bercadang meletakkan 20 calon di peringkat Parlimen dan DUN.


Jenice Lee yang merupakan bekas setiausaha publisiti DAP Selangor, berkata demikian ketika meraikan tiga pemimpin cawangan DAP dari Taman Muda, Cheras Hartamas dan Pandan Perdana yang menyertai PRM

Menurutnya, dengan ketiadaan tiga pemimpin cawangan itu, maka tidak ada lagi cabang DAP di Pandan.

“Terdapat empat cawangan DAP di Pandan dan satu tidak aktif sejak dua tahun lalu.

“Sekarang tiga cawangan aktif telah menyertai PRM jadi tidak ada lagi cabang DAP di Pandan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bekas pengerusi cawangan Taman Muda, Khoo Kian Seong berkata, salah satu sebab beliau keluar DAP kerana tidak bersetuju dengan sokongan parti itu mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan.

“Kami memerlukan parti yang baik dengan pemimpin yang baik untuk membawa perubahan sebenar ke negara ini dan itulah sebabnya kami memutuskan untuk keluar dari DAP dan menyertai PRM demi masa depan,” kata Khoo, yang merupakan pengerusi cawangan Taman Muda selama lima tahun.

Sebelum ini, PRM telah mencalonkan Jenice Lee bertanding di Parlimen Pandan dan DUN Teratai untuk PRU-14.

Jenice berkata strategi PH mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri merupakan satu strategi yang teruk.

“Mana ada negara yang mencalonkan seorang yang telah berusia lebih 90 tahun sebagai perdana menteri.

“Lagipun dia pernah jadi perdana menteri dan dalam tempoh 20 tahun memegang jawatan itu banyak isu tidak diselesaikan termasuk beberapa polisi turut tidak terlaksana.

“Sekarang ini dia (Dr Mahathir) nak perbetulkan. Tak mungkinlah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Jenice menambah, sikap Dr Mahathir yang dikenali mengamalkan korupsi dan prinsip diktator ketika di zaman pemerintahannya seperti disifatkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang jelas menunjukkan bahawa bekas perdana menteri itu tidak sesuai untuk menyandang kembali jawatan tersebut.

“Kalau datuk nenek kita yang sudah berusia 80 tahun dan biasa makan menggunakan tangan, bagaimana kita mahu menganjar mereka untuk menggunakan chopstick dalam usia seperti itu,” sindirnya.

No comments: