Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Rakan komponen PPBM dalam Pakatan Harapan (PH), PKR
menyerahkan kepada parti itu dalam menyelesaikan masalah mereka dengan
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Menurut Ketua Whipnya Datuk Johari Abdul, beliau yakin parti pimpinan
Tun Dr Mahathir Mohamad itu mampu menyelesaikan masalah mereka dan dapat
mengemukakan apa yang diminta RoS.
Beliau juga enggan mengulas mengenai rancangan PH seandainya PPBM dibubarkan.
"Saya pun tidak tahu apakah terjadi kepada PPBM semasa mesyuarat agung
mereka. Namun begitu, sudah tentu pimpinan PPBM mempunyai banyak jawapan
dan akan dijawab kepada RoS seperti yang diminta. Soalnya adakah mereka
kalau dibatalkan? Soal akan dibatalkan kita bincang kemudianlah.
"Yang keduanya berkenaan dengan, surat itu saya rasa adalah dari
pentadbiran dan undang-undang. Ya, RoS mempunyai hak untuk bertanya dan
menulis surat amaran ke tunjuk sebab atau apalah. Saya rasa mungkin PPBM
akan respons. Saya tidak ada butiran tentang apa yang terjadi dalam
mesyuarat mereka," katanya kepada Antarapos hari ini.
PPBM berdepan risiko dibubarkan selepas notis dikemuka RoS semalam
mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa 28
Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, notis tersebut yang telah
diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh
mengarahkan parti terajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu menjawab serta
menyerahkan semua maklumat dan juga dokumen kepada pihak RoS.
Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan
oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan
pusat serta perihal penyata kewangan parti.
Sekiranya PPBM gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen
yang diminta, katanya, tindakan susulan daripada RoS adalah mengikut
Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah
pembubaran ke atas PPBM.
Ia susulan penerimaan 430 aduan daripada ahli dan bekas pemimpin PPBM
yang tidak berpuas hati dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu
yang dianggap tidak sah dan melanggar perlembagaan parti.
Dalam pada itu, Johari turut meluahkan rasa tidak puas hatinya atas
tindakan RoS yang sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas
berkenaan status pendaftaran gagasan pembangkang itu.
Tegasnya, tindakan RoS yang membisu itu jelas tidak rasional meskipun telah 'diheret' ke mahkamah.
"Ia dua isu yang berbeza. Yang pertama tentang permohonan untuk
mendaftarkan PH. Permohonan itu pun tidak dibuat direspons oleh RoS.
Jadi bagi saya, sepatutnya RoS kena respons awal lagi sama ada boleh
atau tidak boleh. Diluluskan atau tidak. Status dia, dah masuk nak dekat
setahun dah ini.
Jadi tindakan RoS agak 'low'," tegasnya.
Untuk rekod, AGM sulung PPBM pada 30 Disember tahun lalu yang dihadiri
941 perwakilan daripada 137 bahagian bertempat di Pusat Konvensyen Ideal
(IDCC) Shah Alam.
Bagaimanapun beberapa pemimpin akar umbi tampil mendakwa kononnya AGM
PPBM 'syok sendiri' berikutan memperjuangkan kepentingan individu
tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.
Masalah dalaman PPBM ini turut menjejaskan usaha gagasan pembangkang
yang dianggotainya untuk bernaung di bawah satu logo pada PRU14.
Ia berikutan kegagalan parti itu mematuhi perlembagaannya, menyebabkan
permohonan pembangkang mendaftarkan PH, sehingga kini tidak diluluskan.
No comments:
Post a Comment