SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP dianggap ketandusan
idea untuk mentadbir negara apabila mengemukakan janji-janji yang tidak
jelas kepada rakyat di sebalik manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14).
Perkara itu ditegaskan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Haslin
Hasaan apabila beliau menyifatkan manifesto bersama PKR, DAP, Amanah dan
PPBM itu bersifat umum dan hanya untuk menarik undi semata-mata tanpa
memikirkan kesan jangka panjang kepada negara serta rakyat.
Mengambil contoh janji memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST),
beliau menanggap perkara itu sukar untuk dilaksanakan oleh PH kerana
hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan menerusi pelaksanaan sistem
percukaian itu adalah tinggi.
“Justeru, adalah mustahil Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai
tersebut kerana ia merupakan antara penyumbang hasil terbesar kepada
Kerajaan Persekutuan.
“Apabila kita bercakap satu perkara yang besar, langkah untuk
memansuhkan GST itu sudah tentunya akan memberi kesan rantaian kepada
rakyat, sektor ekonomi yang akhirnya akan kedudukan negara pada masa
depan,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Pada masa sama, Haslin turut membidas PH yang dianggap begitu lemah
dalam merangka dasar negara apabila gagal mengemukakan mekanisme atau
alternatif khusus bagi menggantikan GST.
Walaupun Pakatan Harapan mahu memperkenalkan semula Cukai Jualan dan
Perkhidmatan (SST), beliau bagaimanapun menyifatkan ia bukan satu
langkah yang praktikal kerana sistem percukaian yang dilaksanakan pada
tahun 1972 termasuk semasa era Pengerusi gabungan itu, Tun Dr. Mahathir
Mohamad menjadi Perdana Menteri didapati terdedah dengan pelbagai
masalah pertindihan serta ketirisan.
Dalam masa sama, Haslin yang juga ADUN Tanjung Sepat itu turut
menegaskan manifesto PH yang diumumkan pada Khamis lalu itu hanyalah
‘gula-gula’ yang akan memudaratkan rakyat.
“Habis ‘gula-gula’ itu, maka habislah manisnya dan rakyat selepas itu
akan sengsara. Malah, sebilangan besar janji-janji dalam manifesto itu
telah pun dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment