Monday, March 5, 2018

PH bergelut rebut kerusi jejaskan imej Amanah Kelantan

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Imej Amanah Kelantan turut tercalar di mata rakyat negeri itu ekoran tempias perbalahan agih kerusi dalam kalangan empat parti komponen Pakatan Harapan (PH), kata ADUN Cempaka Ahmad Fathan Mahmud.
 
Justeru biarpun parti itu dikatakan mendapat majoriti kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amanah perlu bekerja keras bukan hanya untuk meraih undi tetapi perlu meyakinkan pengundi bahawa PH sebuah gagasan yang kukuh, kata Fathan.
 
"Saya tak nampak Amanah makin kuat. Penyokong yang kuat sokong Amanah sebelum ini, sekarang ini mereka dah hilang kepercayaan kepada parti itu bila mereka tengok kepada perkembangan muktahir parti Amanah," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Fathan bertegas, Amanah sebagai satu daripada komponen PH akan terkesan dengan isu-isu kontroversi yang membelit gagasan itu.
 
Ujarnya, pengundi kini celik maklumat dan semakin bijak menilai prestasi sesebuah parti politik.
 
"Dalam isu-isu melibatkan Islam, yang terbaru isu empat orang murtad di Sarawak, kita tengok Pengerusi Amanah Sarawak yang menjadi juru cakap dalam membentangkan SOP untuk murtad, itu merupakan isu besar.
 
"(Begitu) Pertelingahan Amanah di Pulau Pinang dalam pengagihan kerusi dengan Bersatu (PPBM), kesimpulannya rakyat tidak yakin dengan keadaan yang berlaku sekarang. Pertelingkahan antara mereka, ini belum lagi mentadbir, memerintah belum lagi pilihan raya kalau hal ini mereka tak boleh selesaikan.
 
"Berbeza masa kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum PRU. Alhamdulillah kita boleh buat perbincangan dengan PKR dan DAP dalam agihan kerusi dan sebagainya," katanya.
 
DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi dengan 31 darinya dikuasai PAS, 13 pula dari Umno dan satu kerusi milik Amanah.
 
Kerusi Parlimen pula menyaksikan PAS menguasai sembilan kerusi manakala BN pula memiliki lima kerusi. 
 
Fathan kemudiannya menambah perkembangan terbaru bahawa Amanah Kelantan mendapat majoriti kerusi untuk dipertandingkan di Kelantan tidak sesekali menggugat PAS.
 
Beliau juga yakin Amanah tidak akan diterima di Kelantan lebih-lebih lagi selepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik Darjah Kebesaran dua pemimpin Amanah negeri itu baru-baru ini.
 
"Di Kelantan saya taknampak mereka boleh menang, lebih-lebih lagi terutama dalam isu penarikan gelaran 'Datuk' kepada Husam Musa dan Wan Abd Rahim.
 
"Sejarah yang lepas, parti-parti yang bertelingkah dengan istana ini mempunyai masalah masa depan.
 
"Ini isyarat awal, kalau kita tengok istana tarik gelaran orang utama Amanah Kelantan, ini memberi kesan kalau istana dah tarik , macam mana mereka boleh menang ? Adakah istana akan terima dua orang ini sebagai Menteri Besa kalau awal-awal dah tarik? Itu adalah isyarat," katanya.
 
 

No comments: