Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi menyifatkan
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai
“kebudak-budakan” apabila menahan dana kerajaan negeri untuk ADUN parti
itu.
Beliau juga percaya Azmin bertindak demikian kerana mungkin dipengaruhi
oleh budaya politik bekas-bekas pemimpin Umno yang kini menerajui
Pakatan Harapan (PH), termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sebenarnya yang budak-budak ialah Azmin Ali, menteri besar. Untuk apa
dia tahan peruntukan? Adakah dia fikir, bila kita tak ada duit, maka
kita gagal menjinakkan hati orang? Adakah dia fikir dengan dia ada duit
itu, dia boleh jinakkan hati orang?,” kata Sallehen ketika ditemubual
secara eksklusif Antarapos, semalam.
“Dia (Azmin) selalu baca ayat al-Quran. Bahkan sikap budak-budak dia
itu jelas kelihatan ketika sidang DUN sebelum ini, dia sendiri yang baca
ayat Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba buat kebaikan).
“Hari ini bila kita nak menyalurkan kebaikan kerajaan negeri kepada
rakyat (disekat pula). Sekarang ini yang timbul adalah kebencian dan
kemarahan rakyat pada dia (Azmin) sendiri," katanya.
13 ADUN PAS setakat ini dinafikan peruntukan RM800,000 kerajaan negeri
untuk membiayai projek-projek mesra rakyat di kawasan masing-masing.
PAS percaya tindakan itu diambil untuk mencantas parti meskipun PAS
masih menganggotai kerajaan negeri pimpinan PKR sehingga Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) diumumkan.
"Dia (Azmin) perlu bertindak secara profesional. Sekarang nampak macam
dia pula yang mengulangi apa yang Umno pernah buat, yang satu masa dia
sendiri yang memperjuangkan ketidakadilan itu," tegas Sallehen yang juga
ADUN Sabak.
Beliau merujuk kepada tindakan Dr Mahathir semasa menjadi presiden Umno
dan perdana menteri, menafikan Terengganu dan Kelantan di bawah teraju
PAS, pelbagai hak dan peruntukan.
Sallehen berkata tidak ada rasional untuk Azmin berlaku tidak adil
kepada PAS kecuali jika ada tekanan luar, khususnya daripada PKR atau
Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Dr Mahathir.
“Ini yang saya kata ada tekanan. Boleh jadi datang sendiri daripada
presiden ataupun pengerusi Pakatan Harapan sendiri, Dr Mahathir...sebab
ini cara Dr Mahathir,” kata Sallehen.
Dr Mahathir yang menjadi presiden Umno dan perdana menteri selama 22
tahun, sebelum ini berulang kali mendesak PKR untuk menamatkan kerjasama
dengan PAS.
Pengasas dan pengerusi PPBM itu mahukan PKR memberi fokus sepenuh
kepada PH yang disertai oleh dua musuh politik utama PAS iaitu DAP dan
Amanah.
No comments:
Post a Comment