Saturday, March 3, 2018

Pemuda Umno gesa KWSP saman Sarawak Report

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Satu tindakan saman perlu diambil Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap Sarawak Report di London, United Kingdom ekoran memfitnah sehingga menjejaskan imejnya sebagai kumpulan berintegriti yang memiliki nama baik.
 
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, walaupun KWSP sudah mengeluarkan kenyataan media menafikan tuduhan berkenaan namun ia tidak mencukupi. 
 
Beliau berkata, tindakan mahkamah diambil akan sama dengan langkah Presiden PAS menyaman Sarawak Report ekoran artikel fitnah pernah dikeluarkan kononnya parti itu menerima sumbangan RM90 juta daripada UMNO.
 
Katanya, apabila kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, ternyata Sarawak Report tiada bukti untuk menyokong tuduhan mereka itu.
 
"Dalam kes KWSP, saya yakin perkara sama akan berlaku. Jika KWSP menyaman, Sarawak Report akan terpaksa memberi mahkamah segala bukti yang mereka (Sarawak Report) ada untuk mempertahankan diri.
 
"Ini sekali gus akan mendedahkan segala cerita mengenai KWSP dikeluarkan Sarawak Report adalah rekaan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Portal berita dalam talian itu baru-baru ini mengeluarkan satu artikel fitnah mendakwa KWSP berurusan dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings dan individu dikenali sebagai Mr Matrai, untuk merompak wang rakyat Malaysia.
 
Mohd Razlan berkata, sudah tiba masanya badan kerajaan mahupun agensi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak mengeluarkan kenyataan fitnah sehingga mencemar nama baik kerajaan dan kepemimpinan negara.
 
"Terbukti sikap berdiam diri dan hanya mengeluarkan kenyataan media menafikan tuduhan fitnah pihak tidak bertanggungjawab seperti Sarawak Report, sudah kurang efektif," katanya

No comments: