KEADILAN DAILY
Jabatan Perkhidmatan Awam sewajarmya membiarkan penjawat awam membuat penilaian sendiri apabila memangkah kertas undi, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, ikrar taat setia dan integriti mereka tidak bercanggah dengan keupayaan untuk menilai prestasi pemerintah.
“Penjawat awam di barisan hadapan menilai kecekapan kerajaan yang memerintah.
“Mereka melihat sendiri kesan pemotongan peruntukan pendidikan dan kesihatan.
“Mereka boleh menilai apa yang berlaku kepada institusi-institusi seperti Bank Negara, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Felda, MARA dan lain-lain lagi yang pernah menjadi kebangaan negara suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas wawancara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dengan media baru-baru ini.
Zainal dipetik berkata yang penjawat awam perlu taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan negara selaras di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Ketua Pengarah JPA sepatutnya membetulkan kenyataannya.
“Ya, penjawat awam sepatutnya setia kepada Yang Dipertuan Agong dan negara.
“Mereka sepatutnya menjalankan tugas mereka di bawah kerajaan yang memerintah (government of the day) secara profesional.
“Tetapi kata-katanya seolah-olah kempen seorang menteri pula,” kata Nik Nazmi.
Nik Nazmi turut mencabar Rahim untuk bertanding dalam pilihan raya umum jika beliau hendak berkempen untuk BN.
“Biar penjawat awam membuat pilihan sendiri.
“Jangan hendak ditakut-takutkan. Jangan nak jadi orang politik.
“Jika nak, boleh saja bertanding dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment