Sunday, March 25, 2018

Laporan audit skandal 1MDB kini ‘rahsia dalam rahsia’

KEADILAN DAILY

Dr Lee Boon Chye


Anggota Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak soalannya dalam menuntut penjelasan sebab di sebalik kerahsiaan laporan audit skandal 1MDB.

Anggota Parlimen KEADILAN itu memohon penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebab siasatan 1MDB oleh Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

“Soalan yang saya tanya ialah mengapa laporan audit diklasifikasikan; bukan tanya pasal kandungan laporan itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lee berkata, sebab laporan itu dirahsiakan sepatutnya tidak disembunyikan.

“Walaupun saya faham bahawa kandungan laporan itu adalah rahsia rasmi, namun sebab ia dirahsiakan tentu sekali bukan rahsia,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan akan dianggap sebagai berita palsu.

Pada masa sama, Putrajaya cuba membentangkan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar untuk bacaan pertama pada minggu hadapan.

Usaha-usaha ini merupakan percubaan jelas kerajaan untuk mengawal berita berkaitan 1MDB menjelang pilihan raya umum ke-14.

No comments: