TAIPING: Empat lagi anggota PPBM Larut yang diketuai bekas ketua
bahagian Larut Mohd Radzi Ramli hari ini mengumumkan keluar daripada
parti itu dan menyertai Umno.
Mohd Radzi berkata tindakan itu dilakukan kerana hilang kepercayaan
terhadap parti itu yang hanya memperjuangkan kepentingan individu
tertentu sahaja selain berlaku perpecahan dikalangan anggota
jawatankuasa.
”Masing-masing (ahli parti Bahagian Larut) menunjukkan kehebatan serta
menonjolkan diri dan saling pijak memijak antara satu sama lain untuk
dipilih sebagai calon bagi pilihan raya akan datang dan saya sebagai
ketua bahagian pun disisihkan begitu saja.
“Saya telah dijadikan batu loncatan untuk kepentingan mereka atau
individu tertentu sahaja. Saya individu yang menubuhkan BERSATU di sini
semenjak tahun 2016 bersama beberapa orang rakan yang lain telah
dipinggirkan,” katanya dalam sidang media di Taiping hari ini.
Tiga lagi anggota PPBM yang keluar parti pada hari ini termasuklah
ketua Srikandi PPBM bahagian Larut Rosnani Wahab dan dua anggota biasa.
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga anggota Parlimen
Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Umno tidak pernah meminggirkan
anggotanya atas sesuatu kepentingan.
“Ia sudah menjadi kebiasaan, pembangkang bila nak dekat PRU14, baru
nampak sikap diktator yang dilakukan pemimpin besar mereka. Barulah
nampak kuku besi, sebelum itu dia guna mereka (anggota PPBM) dan bila
sampai pada waktunya barulah orang akan nampak apa berlaku sebenarnya,”
katanya.
Beliau berkata Umno sentiasa menerima mereka yang ingin kembali kepada parti itu dengan hati yang terbuka.
“Kita percaya ramai lagi akan kembali dan mari kita teruskan perjuangan
asal kita, perjuangan datuk nenek kita, bukan untuk sesiapa tetapi
untuk membela nasib bangsa, agama dan negara,” katanya.
Pada Feb lepas, 50 anggota PPBM Larut yang diketuai bekas ketua penaja
dan setiausahanya Shafie Mohd Khairy juga keluar parti dan menyertai
Umno.
No comments:
Post a Comment