Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun), Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau agak terkejut membaca berita mengenai hukuman yang dikenakan ke atas seorang “datin” oleh mahkamah.
Kata beliau, “datin” berkenaan hanya dihukum oleh hakim mahkamah sesyen dengan bon berkelakuan baik selepas “datin” tersebut dilaporkan mengaku bersalah di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius ke atas seorang pembantu rumah.
Media melaporkan pembantu rumah itu didera parah dengan sebilah pisau, sebatang mop, sekaki payung dan penyangkut baju, katanya.
“Ada dua perkara yang perlu dijelaskan di sini. Seksyen 326 Kanun Keseksaan adalah seksyen yang bercakap tentang mendatangkan kecederaan parah dengan sukarela (voluntarily causing grevious hurt) dengan menggunakan instrumen.
“Hukuman jika bersalah di bawah seksyen 326 adalah hukuman penjara hingga mencecah 20 tahun penjara, denda atau sebatan. Maknanya ia adalah satu kesalahan serius.
“Bon berkelakuan baik adalah satu bentuk hukuman yang seorang hakim boleh kenakan ke atas seorang penjenayah yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah.
“Ia adalah budi bicara hakim yang diperuntukkan di bawah seksyen 173A atau seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Para peguam panggil seksyen ini “bind over”. Biasanya ia diberikan kepada kes-kes yang dianggap kesalahan ringan atau remeh,” jelas Ahli Parlimen Sepang itu menerusi Facebook beliau.
Kata Hanipa, beliau tidak pasti bagaimana hakim tersebut boleh dengan mudah membuat hukuman dengan bon jaminan berkelakuan baik kepada “datin” yang didakwa di bawah seksyen 326 tersebut.
Sedangkan katanya, ia tergolong dalam kesalahan serius dan pindaan telah dibuat ke atas CPC pada tahun 2016 yang secara jelas tidak lagi bagi pilihan kepada hakim menghukum seseorang dengan bon berkelakuan baik bila orang itu didakwa dengan kesalahan serius seperti seksyen 326.
Definisi kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan adalah kesalahan yang boleh dihukum (punishable) untuk tempoh 10 tahun atau lebih, tambah beliau.
“Bagi saya, kes seperti ini boleh menyebabkan kepercayaan orang ramai kepada sistem kehakiman negara akan semakin terhakis teruk.
“Saya harap hakim mahkamah tinggi akan segera membuat semakan (review) ke atas hukuman tersebut. Uniknya, semakan boleh dibuat meskipun tak ada sesiapa yang pohon,” katanya.
No comments:
Post a Comment