Sunday, March 11, 2018

Kajian Invoke berat sebelah, kata Mahadzir Khalid

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Kaji selidik Invoke Malaysia yang meramalkan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memenangi lima negeri termasuk Kedah, Perak dan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersifat berat sebelah.
 
Menegaskan demikian, anggota  Majlis Tertinggi Umno Mahdzir Khalid berkata, kaji selidik itu tidak menyeluruh kerana menyebelahi pembangkang.
 
“Semua dia punya, ‘inclination report’ itu menyebelahi kepada satu pihak, hanya menyebelahi kepada Pakatan Harapan sebab (kaji selidik itu) Invoke Malaysia yang buat. Jadi, tak payah pakailah (kaji selidik) Invoke.
 
"Carilah (kaji selidik) yang lain untuk tengok dia punya analisis berkaitan pilihan raya umum,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Future Kids & My English Parlimen Bukit Gelugor, di George Town hari ini.
 
Invoke Malaysia, badan penyelidik yang diasaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, meramalkan PH akan memenangi Kedah, Perak, dan Johor dalam pilihan raya itu, PH akan juga memenangi Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasainya sekarang.
 
Sementara itu, mengulas mengenai program Future Kids & My English, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata pihaknya mengalu-alukan lebih banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program seumpama ini.
 
Beliau berkata menerusi program itu murid-murid bukan sahaja boleh menulis malah bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.
 
Program yang diusahakan oleh Umno Bukit Gelugor itu melibatkan 280 murid Tahun 6 dan Tahun 4 dari tujuh buah sekolah di Parlimen Bukit Gelugor yang mengikuti kelas tambahan percuma dengan bimbingan guru-guru dan tenaga pengajar luar terlatih

No comments: