SELANGOR KINI
SINGAPURA : Harga minyak turun hari ini, ditarik turun pasaran saham yang
lemah selepas penyokong utama perdagangan bebas dalam kerajaan Amerika
Syarikat (AS) meletak jawatan.
Ini sekali gus mencetuskan
kebimbangan bahawa Washington berkemungkinan akan meneruskan cadangan
mengenakan tarif import ke atas keluli dan aluminium dan terdedah kepada
perang perdagangan, lapor REUTERS.
Peningkatan pengeluaran minyak mentah AS dan peningkatan inventori turut menarik turun harga minyak mentah, kata peniaga.
Gary
Cohn, penasihat ekonomi kepada Presiden Donald Trump, yang dilihat
sebagai penyokong kuat perdagangan bebas dalam kerajaan AS, semalam
berkata beliau meletak jawatan, mencetuskan kejatuhan lebih satu peratus
dalam dagangan hadapan S&P 500 pada awal.
Minyak mentah menyusuli, dengan dagangan hadapan Brent susut 51 cent, atau 0.8 peratus, daripada AS$65.28 satu tong sebelumnya.
West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$62.13 satu tong, turun 47 cent, atau 0.75 peratus.
“Ketidaktentuan
daripada peletakan jawatan Cohn… mungkin menyaksikan harga minyak turun
lebih rendah dalam sesi dagangan hari ini,” kata Stephen Innes, ketua
perdagangan Asia Tenggara di OANDA di Singapura.
Kuasa besar,
termasuk Kesatuan Eropah dan China, sebelum ini memberi amaran tarif
yang akan dikenakan itu boleh menjurus kepada langkah tindak balas dan
mencetuskan perang perdagangan global, yang boleh merencatkan
pertumbuhan ekonomi dan penggunaan minyak.
Peniaga juga berkata harga minyak turut dipengaruhi peningkatan inventori minyak mentah AS.
Inventori
minyak mentah meningkat sebanyak 5.661 juta tong dalam seminggu kepada
426.880 juta tong, demikian menurut data American Petroleum Institute
(API).SUMBER: REUTERS
No comments:
Post a Comment