RANAU: Seramai 130 pendaki di Gunung Kinabalu yang dibawa turun susulan
gempa bumi bermagnitud 5.2 berpusat di Ranau, selamat tiba di Pondok
Timpohon, pada jam 4.30 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, berkata ketika kejadian seramai 239
individu berada di Gunung Kinabalu.
Katanya, ia turut membabitkan 42 malim gunung, porter (4), kakitangan
Sutera Houber (30), pekerja binaan (4), enam kakitangan Taman-Taman
Sabah (TTS), SAR TTS (5), Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Gunung
MOSAR (6), pasukan mencari dan menyelamat (SAR), dan petugas Mountain
Torq (12).
"Semua mereka selamat tiba secara berperingkat dari jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Khairul Azuwan, operasi SAR membabitkan 76 orang pelbagai agensi
antaranya bomba termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat
Malaysia (STORM), MOSAR, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),
Kementerian Kesihatan dan kakitangan TTS.
"Ketika operasi SAR, semuanya dalam keadaan terkawal dan tiada kejadian
tidak diingini. Walaupun ada laluan runtuh, namun keadaan terkawal,"
katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat akibat gempa bumi di Gunung Kinabalu
kali ini terkawal berikutan bomba dan agensi lain mempunyai pengalaman
ketika gempa bumi tiga tahun lalu.
"Anggota keselamatan mengambil langkah yang cepat bagi memastikan semua
mangsa yang berada di gunung Kinabalu selamat," katanya.
Pengurus Taman Kinabalu, Yasin Miki, berkata terdapat runtuhan besar di
kawasan gunung Kinabalu namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar.
"Keadaan gelap menyebabkan kita tidak dapat memastikan kerosakan yang
berlaku di Gunung Kinabalu namun kita akan menjalankan pemeriksaan
lanjut hari ini," katanya.
No comments:
Post a Comment