KOTA BHARU: Ketiadaan penegasan mengenai hudud dalam Manifesto Gagasan
Sejahtera bukan bermaksud undang-undang itu sudah diketepikan sebaliknya
PAS menganggap agenda Islam adalah lebih penting.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hudud bukan satu
benda besar tetapi hanyalah sebahagian program atau usaha yang dibuat
untuk memperkasa mahkamah syariah dan undang-undang Islam.
Beliau memberi contoh Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang walaupun tidak menyebut
perkataan hudud secara jelas namun usaha menaikkan jumlah hukuman rotan
kepada 100 kali adalah sebahagian daripada elemen hudud.
"Kita ada sebut perkataan Islam dalam (manifesto) dan itulah yang lebih
penting. Agenda Islam adalah lebih besar daripada hudud kerana hudud
itu hanya sebahagian daripada Islam.
"Apabila kita sebut hudud kita tidak boleh jadi fobia dan kata bahawa
itulah satu-satunya yang nak diperjuangkan PAS dalam syariat Islam
sedangkan hudud hanya salah satu aspek seperti qisas dan taazir.
"Kepada orang yang mengkritik mengata PAS sudah lari dari perjuangan
melaksanakan hudud kita mahu tanya mereka apa pula perjuangan mereka
untuk laksana syariat Islam, langsung tidak ada," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengisytiharan keluar parti
34 ahli dan pemimpin PPPBM Kota Bharu diketuai Naib Ketuanya, Mohd Nor
Hashim Che Min di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, di sini hari
ini.
No comments:
Post a Comment