Roketkini.com
Sokongan padu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama takkan pernah menjadi penghalang buat ahli politik wanita muda ini untuk meneruskan perjuangannya di tempat baru jauh ke selatan.
Bagi Yeo Bee Yin, politik bukanlah tentang keselesaan tetapi adalah demi perjuangan dan perubahan di tanah air tercinta ini.
Dalam nada sebak, beliau berkata persetujuannya untuk keluar dari zon selesanya adalah demi generasi akan datang dan Malaysia yang lebih baik.
“Saya ingin umumkan kepada penduduk Damansara Utama, pengundi saya, bahawa saya telah putuskan untuk terima cadangan parti agar keluar dari kawasan ini dan berpindah ke Johor untuk bertanding di sana,” katanya dalam majlis peluncuran bukunya berjudul Reimagining Malaysia malam tadi.
“Saya mahu katakan ya, kepada perkara yang akan mengubah bukan sahaja kehidupan kita, tetapi juga generasi akan datang,”
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu berkata, meskipun berasal dari Segamat, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dengan keputusannya untuk pulang menabur bakti di Johor.
Beliau menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pengundi yang memberikan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
“Lima tahun yang lalu saya melihat hubungan seorang ahli politik dan pengundi, tapi sekarang saya tak lagi melihat anda sebagai pengundi, tetapi sebagai kawan yang sangat hargai,” katanya disambut tepukan daripada mereka yang hadir.
Pada PRU13 lalu, Bee Yin memperoleh majoriti undi sebanyak 30,689 meninggalkan jauh pesaingnya dari MCA dan Bebas dengan masing-masing hanya memperoleh 6,614 dan 380 undi. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment