Tuesday, March 6, 2018

Bayar gaji terus ke akaun pembantu rumah asing

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bayaran gaji kepada pembantu rumah asing pada masa depan tidak lagi menggunakan kaedah konvensional atau tunai, tetapi menggunakan kaedah ‘e-wallet’, secara terus ke akaun pembantu rumah asing, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara berkenaan telah dibincangkan secara mendalam oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dengan pihak kedutaan dan suruhanjaya tinggi.

“Kami telah adakan perbincangan yang agak terperinci dengan kedutaan agar semua majikan berdaftar guna kaedah pembayaran sama.

“Saya fikir kaedah konvensional seperti dulu, kita sebagai negara yang akan jadi negara maju, kita perlu elak walaupun seorang…kita tak harus izinkan sebarang pembuatan tidak baik kepada pekerja,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan memperkenalkan mekanisme tertentu bagi memastikan bayaran elaun dan gaji pembantu rumah asing dibuat pada setiap bulan.–Bernama

No comments: