Saturday, March 3, 2018

Bahagi kerusi DUN Selangor akan selesai dalam 10 hari, kata Xavier




selangor-undi-dun
Gambar AFP.


PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Selangor akan menyelesaikan pembahagian kerusi DUN dalam 10 hari lagi, kata Pengarah Pilihan Raya Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata masih ada 15 kerusi lagi belum selesai dibahagikan. Xavier bagaimanapun tidak memberitahu apakah kerusi yang masih dalam pertikaian.

“Lebih separuh sudah selesai, ada sikit lagi kena selesai,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Rundingan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada hujung Januari tetapi dilanjutkan sehingga ke hari ini atas permintaan PH Selangor kerana kegagalan mencapai kata sepakat antara 4 parti komponen.

Difahamkan prinsip rundingan ialah parti komponen akan mengekalkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lepas.

Parti serpihan Umno, PPBM, menjangkakan akan bertanding di kerusi Umno sementara parti serpihan PAS, Amanah menjangkakan akan bertanding di kerusi PAS.

“Ada satu garis panduan kalau mana-mana negeri tak boleh selesaikan pembahagian kerusi kita kena bawa ke pusat, tapi Pengerusi PH Selangor (Datuk Seri Azmin Ali) dia yakin bahawa kita boleh selesai,” kata Xavier.

Beliau menambah pembahagian ini akan disegerakan dalam tempoh 2-3 hari sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan dalam masa terdekat.

Semalam, Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu menyatakan gabungan itu hampir menyelesaikan rundingan kerusi Parlimen dan DUN.

Presiden Amanah itu berkata rundingan kerusi Parlimen sudah diselesaikan kecuali di Sabah manakala bagi kerusi DUN hanya tinggal Selangor yang belum selesai.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan pada PRU13, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15) dan Amanah (2). Bilangan kerusi PKR dan DAP bagaimanapun berkurang 1 apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti.

No comments: