Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lena tidur mendengar kelantangan suara veteran Umno yang semakin kerap bersuara kebelakangan ini.
Setelah 'dibelasah teruk' isu Jho Low dan 1MDB oleh Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim kini muncul pula seorang lagi veteran, Tan Sri Rafidah Aziz yang juga mantan menteri Umno.
Kenyataan terbaru Rafidah Aziz dilihat bakal menimbulkan kegemparan dan perpecahan yang lebih dasyat dalam parti Umno.
Dalam salah satu tulisannya di Facebook, bekas menteri kabinet itu menyatakan 'tindakan memilih pemimpin yang rasuah itu samalah seperti membenarkan salah laku yang dilakukan ahli politik berkenaan'.
Beliau juga memberi amaran bahawa rakyat Malaysia akan dianggap 'bersubahat' dengan perbuatan rasuah dan pengkhianatan sekiranya pengundi secara sukarela mengundi ahli politik yang korup.
Makan cili rasa pedas
Kenyataan beliau ditujukan secara umum, dan boleh jadi kepada sesiapa sahaja, tetapi rakyat pasti memahami kenyataan beliau ditujukan secara khusus memandangkan senario politik semasa di Malaysia.
Sifat ‘siapa yang pedas dengan memakan cili api’ sudah dapat dilihat apabila muncul 'macai' yang melenting setelah membaca kritikan Rais Yatim terhadap pemerintah kleptokasi sebelum ini.
Rakyat akan dapat melihat pemimpin Umno seperti 'cacing yang kepanasan', marah-marah dan melenting dengan memberi kenyataan balas terhadap kenyataan Rafidah itu.
Korup dan rasuah seperti yang dinyatakan oleh Rafidah Aziz itu disinonimkan dengan parti Umno serta puak elit politik di negara ini.
Rafidah menasihati rakyat agar jangan memilih parti tersebut dan kepimpinannya yang terbukti korup dan rasuah kerana ia bererti mereka bersubahat membenarkan salah laku pemimpin terbabit.
Ini bermakna Rafidah juga sedar parti Umno dan pemimpinnya telah rosak teruk disebabkan rasuah atau korupsi yang membarah. Justeru beliau mengingatkan rakyat agar menolak parti tersebut dan kepimpinannya.
Biarlah PRU ke 14 nanti parti Umno dan parti-parti yang mahu bekerjasama dengannya jatuh dihukum rakyat yang sayangkan tanahair ini.
Rafidah Aziz ialah pemimpin besar Umno di zamannya. Beliau bergelumang dengan parti tersebut dan jatuh bangun dengan parti beliau sejak dahulu sehingga sekarang.
Mustahil beliau tidak sayangkan Umno dengan kenyataan sinikal seperti itu. Sukar menerima kenyataan beliau dan lain-lain pemimpin veteran jika mereka mahu mengkhianati perjuangan mereka selama ini.
Korup, kenyang perut sendiri
Namun, bagi Rafidah mungkin ada sesuatu yang beliau nampak tidak kena, maka beliau terpaksa memperli, mengata, menyindir serta sinis secara halus atau kasar terhadap elit politik yang dilihat telah jauh tersasar membawa haluan negara ini untuk 'kenyang perut sendiri'.
Beliau kini mulai merasai 'denyut nadi rakyat', dan memahami keluhan rakyat marhaen serta mengerti semua keperitan itu.
Disamping itu beliau juga tahu asal usul terjadinya masalah korup ini sehingga nama Malaysia menjadi buruk dan busuk di serata dunia.
Keterdesakan itu memaksa beliau bersuara lantang menegur dan menasihatkan segelintir pihak yang keterlaluan dalam memerintah negara ini.
Jika veteran Umno seperti Rafidah Aziz dan Rais Yatim (gambar) telah bersuara, apa lagi yang masih tinggal dalam Umno. Mereka mungkin mewakili suara-suara akar umbi Umno yang resah terhadap isu rasuah yang membelenggu Malaysia.
Apakah mungkin selepas mereka bersuara ada lebih ramai lagi pemimpin veteran Umno lain pula tampil bangkit bersuara dan lantang terhadap kebejatan pemimpin negara menjelang PRU ke 14?
Sama-sama kita saksikan aksi menyerang balas oleh para pembodek MO1 yang akan berlagak hulubalang bagi mempertahankan diri Pemimpin mereka yang semakin 'senget menunggu rebah'.
Kemungkaran tetap kemungkaran, sama ada daripada mereka yang berserban atau yang pakai tali leher. Apa perlu dipertahankan mereka yang sebegini?
Apakah kita akan memejam mata kepada semua keburukan yang mencemarkan nama baik Malaysia dengan membelanja harta kerajaan tanpa rasa takut kepada Tuhan?
No comments:
Post a Comment