Friday, March 9, 2018

25 janji, Pakatan mahu hapuskan ‘diskriminasi menzalimi’ kaum India

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan (Pakatan) bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ dilancarkan di bangunan Idea Convention Cente (IDC) di sini, malam tadi.
Manifesto itu menggariskan lima teras merangkumi 60 janji mereka sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

Lima teras itu ialah meringankan bebanan kehidupan rakyat; mereformasi institusi pentadbiran politik; merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama; mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963; dan membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Manifesto yang dilancarkan secara bersama oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menggariskan lima iltizam untuk warga Felda, masyarakat kaum India, golongan wanita, anak muda dan warga emas.

Berikut merupakan iltizam untuk masyarakat kaum India yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang itu:

ILTIZAM KHUSUS UNTUK MASYARAKAT INDIA

Telah berdekad-dekad lamanya kaum India dipinggirkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, walaupun mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak sebelum merdeka lagi.

Marginalisasi yang berterusan menyebabkan bilangan masyarakat India yang hidup miskin terlalu ramai. Jurang ketidaksamarataan dan bebanan kemiskinan adalah amat ketara apabila kita melihat realiti kehidupan masyarakat India di Malaysia di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional hari ini.

Parti-parti komponen Barisan Nasional telah gagal sama sekali untuk membela nasib warga India. Mereka terus dipandang dan dilayan sebagai rakyat kelas bawahan yang boleh diperkotak-katikkan sesuka hati oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang lain.

Sebagai rakyat yang mempunyai hak yang sama dengan semua warganegara lain, sudah tiba masanya untuk semua bentuk diskriminasi yang menzalimi warga India dihapuskan.

Tuntutan dan kehendak kaum India wajib didengari. Pakatan Harapan menawarkan keadilan, keharmonian dan kesaksamaan untuk semua, termasuklah untuk warga India.

Pakatan Harapan juga menyedari bahawa masyarakat India perlu dibantu dengan lebih teliti untuk memastikan jurang yang wujud boleh disamaratakan.

Matlamat utama Kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India agar mereka boleh bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain, iaitu di padang yang sama rata.


 
Pengagihan kekayaan negara mestilah dilakukan secara lebih adil, dan penindasan ekonomi terhadap warga India mesti dihentikan serta merta.

Pakatan Harapan menawarkan iltizam khusus untuk seluruh kaum India di Malaysia. Janji-janji kami bagi masyarakat India adalah seperti berikut:

1. Menyelesaikan masalah komuniti India yang tidak mempunyai status kewarganegaraan (stateless Indians) dalam tempoh 100 hari pentadbiran kami.

2. Memastikan agensi perumahan negara menjadikan bantuan kepada keluarga India yang berkeperluan sebagai satu keutamaan, terutamanya untuk bekas pekerja ladang dan golongan B40. Mereka wajar mempunyai peluang memiliki rumah yang berkualiti dengan harga berpatutan, dan mekanisme bayaran pinjaman yang setara dengan kemampuan mereka termasuklah menggunakan skim sewa-beli.

3. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri akan meletakkan syarat kepada pemaju perumahan supaya di kawasan-kawasan yang mempunyai bekas pekerja ladang dari kaum India yang ramai, maka, pemaju berkenaan mestilah menjalankan usaha-usaha yang perlu untuk membina rumah mampu milik untuk mereka.

4. Untuk memastikan kaum India mendapat peluang pendidikan yang baik, semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan infrastruktur di setiap SJKT akan dinaiktarafkan agar sama dengan kualiti di Sekolah Kebangsaan.



5. Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Sekolah Menengah Tamil dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

6. Untuk memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat India, Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah pelajar India di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan di Maktab-Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara. Keutamaan akan diberikan kepada anak-anak India dari keluarga berpendapatan rendah, keluarga yang bekerja di ladang-ladang, dan mereka yang termasuk dalam kategori miskin bandar.

7. Selain daripada SBP dan MRSM, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membuka lebih banyak ruang untuk anak-anak kaum India memasuki asrama di sekolahsekolah menengah harian, serta membina asrama baru agar kapasiti sekolah-sekolah berkenaan dapat dipertingkatkan.

8. Untuk memastikan anak-anak muda kaum India dapat bersaing dan berjaya dalam arus utama pembangunan yang akan kami bawa, Kerajaan Pakatan Harapan akan melabur dalam skim-skim latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta program perantis (apprenticeship) yang berkesan untuk memastikan wujud laluan pekerjaan yang baik untuk warga India.

9. Untuk mengekang gejala penyalahgunaan dadah dan alkohol dan kegiatan gangsterisme di kalangan anak-anak muda India, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan dasar sosial kami adalah efektif dan inklusif. Ini akan memastikan anak-anak muda India tidak terpinggir daripada masyarakat sehingga mereka terjerumus dalam gansterisme dan masalah sosial lain.



10. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan gaji minimum RM1,500 sebulan dalam penggal pertama pemerintahan kami dan ini secara langsung akan membantu warga India yang bekerja dalam kategori ini.

11. Semua syarikat milik kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, akan diarahkan meletakkan sasaran bahawa 10 peratus daripada bilangan pekerja baru mereka adalah dari kalangan komuniti India.

12. Satu dana khas untuk pembangunan sosial dan ekonomi warga India akan dibentuk, dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion untuk 10 tahun pertama. Dana ini akan dikhaskan untuk membantu membangunkan masyarakat India dengan cara yang saksama. Modal awal dana ini akan dikumpul daripada sumbangan Kerajaan Pakatan Harapan serta sumbangan syarikatsyarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Untuk memastikan dana ini boleh berkuatkuasa segera, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi peruntukan awal segera berjumlah RM100 juta dalam belanjawan pertama kerajaan kami. Pengurusan dana ini akan melibatkan komuniti India secara menyeluruh, iaitu seperti model yang digunakan oleh SINDA Fund Singapura.

13. Lembaga Wakaf Hindu juga akan ditubuhkan di peringkat negeri mengikut model Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang. Pada peringkat awal, Pakatan Harapan akan menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu ini di Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.



14. Fokus segera yang akan diberikan ialah untuk memberi latihan dan membantu golongan ibu tunggal kaum India. Salah satu projek awal yang akan diperkenalkan ialah inisiatif mentor sepenuh masa untuk membimbing ibu tunggal India dalam bidang keusahawanan untuk membantu mereka membina kehidupan yang selesa.

15. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan skim kredit-mikro dan skim bantuan kewangan lain yang sesuai kepada peniaga kecil komuniti India, dengan tumpuan khusus kepada wanita, anak muda dan perniagaan dari rumah.

16. Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (Equal Employment Opportunity Commission) untuk menangani amalan pengambilan pekerja yang bersifat diskriminasi dan tidak adil di sektor awam dan juga sektor swasta.

17. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi peluang bagi kaum India menyertai projek-projek penerokaan tanah yang bermodelkan FELDA, FELCRA dan lain-lain lagi yang sesuai termasuk menyediakan sokongan kewangan dan kawal selia yang diperlukan kepada komuniti India untuk menyertai bidang pertanian terutamanya dalam ladang tenusu dan sayur-sayuran.



18. Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudahkan proses mendapatkan lesen dan permit perniagaan dalam sektor perkhidmatan yang banyak disertai oleh kaum India, seperti sektor pengangkutan, logistik dan pusat kitar semula.

19. Penganut agama Hindu memerlukan kawasan secukupnya untuk kuil dan tanah perkuburan. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan kawasan secukupnya untuk kuil dan rumah ibadat penganut agama Hindu, serta untuk tanah perkuburan.

20. Sekiranya terdapat kuil atau tanah perkuburan yang terpaksa dipindahkan, Kerajaan Pakatan Harapan hanya akan melakukannya setelah berunding dengan komuniti yang terbabit dan memastikan kawasan gantian yang setimpal diberikan.

21. Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan ditubuhkan dalam penggal pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Suruhanjaya ini akan diminta meneliti semua aduan tentang kematian dalam tahanan yang acap kali berlaku kepada warga India.



22. Kementerian-kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, akan diarahkan meneliti dan menyelesaikan masalah kemiskinan bandar dan masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat India.

Kementerian-kementerian ini juga akan diarahkan melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang inklusif agar kaum India tidak ditinggalkan seperti yang sering dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

23. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan pekerja asing di Malaysia. Ini akan membolehkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, termasuklah kaum India, bertambah, dan mereka akan dapat bekerja dengan gaji minima baru iaitu sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dalam penggal pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.



24. Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan kesihatan seluruh negara, terutamanya di kawasan-kawasan ladang yang mempunyai ramai kaum India. Perkhidmatan kesihatan percuma ini akan memastikan kaum India yang memerlukan khidmat kesihatan akan dapat mengaksesnya apabila perlu.

25. Masalah pertukaran agama anak-anak bawah umur oleh ibu atau bapa secara unilateral telah beberapa kali melanda kaum India. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk meyelesaikan isu ini dengan cara harmoni.

No comments: