Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid diminta mendedahkan tiga dalang
utama berkaitan kes pemerdagangan manusia yang berlaku di Wang Kelian,
Perlis, dua tahun lalu.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata selepas empat anggota
polis yang disyaki terlibat disiasat dan kemudiannya dibebaskan kerana
tiada bukti untuk mendakwa, Kementerian Dalam Negeri juga didakwa tiada
mempunyai apa-apa cadangan untuk mengeluarkan kertas putih bersabit kes
pemerdagangan manusia itu.
"Mahkamah jenayah di Thailand telah menyabitkan kesalahan terhadap 62
orang yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia yang merupakan
kes pemerdagangan manusia yang terbesar di Thailand.
"Penyabitan ini menghantar satu mesej jelas kepada sindiket
pemerdagangan manusia bahawa jika didapati bersalah maka hukuman berat
akan dikenakan tanpa mengira status dan pangkat.
"Zahid menyatakan bahawa Malaysia sedang dalam proses untuk mendapatkan
tiga suspek utama dalam kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian dari
Thailand, selepas pada asalmya bilangan suspek yang terlibat adalah 10
orang," katanya di sidang media bersama Ahli Parlimen Bukit Gelugor,
Ramkarpal Singh pada hari ini.
Kasthuri kemudiannya meminta Zahid membuktikan kecekapan dalam
menyelesaikan kes yang berlaku pada 2015 itu memandangkan Malaysia kini
dinaikkan kepada Tier 2 dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan
Orang Amerika Syarikat yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika
Syarikat.
Untuk rekod pada Mei 2015 pasukan keselamatan menemui 139 kubur di 28
kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang
Kelian.
Kira-kira 106 rangka mayat dipercayai mangsa sindiket ditemui hasil operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa.
No comments:
Post a Comment