Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Kemelut yang melanda kepimpinan PKR bersabit kerjasama parti
itu dengan PAS berkemungkinan dianggap sebagai selesai selepas Datuk
Seri Azmin Ali akur dengan keputusan Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu penganalisis politik Prof Dr Fuad Mat Jali menegaskan
bukan sahaja para pemimpin dalam PKR perlu berlapang dada menerima
keputusan muktamad ini tetapi akar umbi juga perlu bersama-sama dalam
perkara ini.
"Jadi oleh kerana sudah berlaku penjelasan daripada Azmin, saya rasa
mungkin (Naib Presiden) Rafizi (Ramli) menerima hakikatnyalah dan mula
membincangkan perkara-perkara lain.
"Tidak lagi cakap kerjasama dengan PAS, bila Azmin bertegas begitu
(jadi) Rafizi kena akur dan akar umbi melihat benda ni dah diselesaikan
dengan ketegasan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Malam Isnin lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan bahawa tiada
kerjasama akan dijalinkan dengan PAS, selain menegaskan sedang merangka
strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru pada
PRU14.
Susulan itu, Timbalan Presiden PKR malam tadi memberitahu media bahawa PKR akan menuruti arahan yang diputuskan PH.
Ketika ditanya mengenai wujudnya dua kumpulan dalam PKR mengenai
kerjasama PAS ini, Fuad berkata ia lebih kepada salah faham antara
pemimpin tertinggi parti itu.
"Dia bukan ada dua kumpulan tapi perselisihan faham, Rafizi mahu
selesaikan masalah kalau dulu katakan PAS tidak mahu buat apa benda ni
perlu dirundingkan lagi. Azmin pula melihat bahawa PAS ini adalah satu
aset bagi beliau dalam mempertahankan Selangor," katanya.
Minggu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, PKR kini
terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang pertama berpendirian keutamaan
parti adalah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu
berunding dan bekerjasama dengan PAS.
Manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam PH menghadapi PRU14.
Mengulas lanjut, Fuad tidak menolak wujudnya penyokong atas pagar dalam PH ekoran ada pihak yang masih lagi menyokong PAS.
"PKR akar umbi mungkin akan ada separuh mereka berada di atas pagar
(yang) mana nak ikut, samada mahu bersatu dengan DAP, Amanah atau mereka
pergi ke PAS (kerana) ada yang menyokong PAS dahulu," katanya.
Tambah beliau lagi, sukar untuk menjangkakan berapa lama pendirian ini
boleh bertahan kerana dalam dunia politik ini apa saja boleh berlaku
menjelang pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment