Oleh Lim Hong Siang
Ramai mungkin tidak asing dengan nama Wong Tuck dan Himpunan Hijau yang dikepalainya, namun tidak ramai yang kenal nama Wong Kim Hoong, dan Gerakan Ban Cyanide Raub yang diketuainya. Isu perlombongan emas dengan menggunakan bahan kimia beracun cyanide di Bukit Koman berlaku pada hujung tahun 2006, lebih awal berbanding isu pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.
Penggunaan bahan kimia sodium cyanide telah mengakibatkan pencemaran alam di Bukit Koman. Mungkin kesannya tidak seteruk sisa nadir bumi yang mengakibatkan penyakit barah dan sebagainya, tetapi kesihatan penduduk Bukit Koman jelas terganggu dengan penyakit seperti gatal kulit, sakit mata dan sebagainya.
Biar saya ingatkan, bahawa isu ini berlaku sebelum 8 Mac 2008, iaitu zaman sebelum Tsunami Politik mengubah lanskap politik Malaysia. Konteks ini penting kerana MCA masih berpengaruh dalam masyarakat Cina. Bapa kepada pemilik syarikat lombong emas adalah veteran MCA.
Kampung ini secara tradisionalnya cenderung kepada MCA. Malah Wong Kim Hoong sendiri adalah ahli seumur hidup MCA!
Tiada sesiapa yang memperjuangkan nasib kampung halaman mereka, kecuali mereka sendiri. Bayangkan keberanian yang diperlukan untuk menongkah arus dan berdepan dengan korporat besar, yang disokong sang penguasa. Penduduk tempatan kebanyakannya warga yang berusia. Wong Kim Hoong sendiri seorang buta komputer, dan masih menulis kenyataan media menggunakan pen dan kertas, pada alaf ke-21.
Pada peringkat awal, MCA cuba membantu dengan mengaturkan pertemuan antara penduduk tempatan dengan pihak syarikat lombong emas. Penduduk tempatan menubuhkan satu jawatankuasa, dengan tuntutan agar pihak syarikat memindahkan kilangnya ke satu tempat yang lebih jauh dari kawasan kediaman. Namun pihak syarikat terlalu angkuh, malah menggelar penduduk tempatan ini sebagai “orang bodoh”.
Isunya lebih rumit, apabila didapati kerabat Diraja Pahang YAM Tengku Nong Fatimah juga antara pemegang saham syarikat lombong emas, iaitu Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM). Ia menjelaskan mengapa MCA berundur selangkah ke belakang dan memainkan peranan di sebalik tabir. “Kami di belakang anda,” janji pemimpin MCA. Namun setelah perjuangan dimulakan, “Kami menoleh ke belakang, baru kami sedar tiada orang di belakang kami. (Mereka) Bukan di belakang kami, mereka hilang diri entah ke mana!” kata Wong Kim Hoong, dalam satu wawancara.
Namun, perjuangan ini tidak berhenti sungguhpun tanpa MCA. Jawatankuasa Ban Cyanide ini memanggil media untuk membuat liputan di Bukit Koman, mengerah penduduk tempatan agar tampil menyatakan bantahan, mengangkat sepanduk, mengadu ke parlimen, mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Pahang dan jabatan-jabatan yang berkenaan, mengadakan perhimpunan, berkempen ketika pilihan raya umum dan sebagainya. Malah mereka menyaman RAGM di mahkamah. Mereka menggunakan semua saluran yang ada, untuk memperjuangkan nasib kampung halaman mereka.
Seperti biasa, lebih kekalahan daripada kemenangan dalam perjuangan. Proses mahkamah paling meletihkan. Penduduk tempatan terpaksa menyewa bas untuk berulang-alik dari Raub ke Kuala Lumpur, semata-mata untuk menghadiri perbicaraan. Dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan hinggalah Mahkamah Persekutuan, mereka pernah menikmati kegembiraan apabila didatangkan kemenangan kecil, namun akhirnya mereka tewas di peringkat terakhir, iaitu Mahkamah Persekutuan. Setelah pihak RAGM menang dalam kes ini, RAGM pula menfailkan saman fitnah terhadap penduduk tempatan.
Untuk setahun lagi mereka bergelut dengan RAGM dalam kes saman fitnah, Wong Kim Hoong bersama seorang penduduk yang disaman, akhirnya mengakur dan bersetuju untuk memohon maaf kepada RAGM. Sebagaimana yang dijangka, mereka berdepan dengan tekanan yang besar, kerana dipersoalkan mengapa mengakur? Hakikatnya, tiga orang penduduk yang disaman, dan mereka terpaksa membayar denda yang tinggi jikalau kalah lagi. Maka Wong Kim Hoong bersama seorang sahabat lagi memilih untuk berkompromi, agar semua sumber ditumpukan kepada penduduk ketiga untuk melawan RAGM.
Akhirnya penduduk ketiga menang dalam kes saman fitnah oleh RAGM. Kilang lombong emas juga dihentikan operasinya atas sebab-sebab tertentu selepas lapan tahun. Pencemaran telah diredakan buat sementara.
Untuk saya, sungguhpun tidak terkenal nama dan wajahnya, tetapi wira-wira inilah antara kisah yang paling indah untuk sedekad kebelakangan. Rakyat yang tidak berpendidikan tinggi, tetapi mengerti untuk bangkit dan lawan, sungguhpun berdepan dengan korporat besar dan sang penguasa.
Mereka mungkin melakukan kesilapan, dan tidak sempurna gerak kerjanya. Ini kerana segala-galanya adalah kali pertama dalam hidup mereka. Mereka terpaksa berdepan dengan media, terpaksa menelaah statistik yang perlu difahami hanya dengan pengetahuan sains dan sebagainya. Mereka perlu menanggung sendiri segala risikonya.
Padahal, mendiang Wong Kim Hoong boleh mengelakkan dirinya daripada terjerat ke dalam isu ini.
Mendiang sudah lama berpindah dari Bukit Koman, tetapi mendiang masih menganggap Bukit Koman adalah kampung halamannya. Mendiang tidak mahu dirinya tak terkata apa, apabila dipersoalkan cucu-cicitnya, mengapa atuk tidak melakukan sesuatu apabila ianya berlaku?
Mendiang Wong telah gugur, setelah bertarung berhabis-habisan di medan perang. Inilah jawapan kepada cucu-cicitnya.
No comments:
Post a Comment