Klinik Kesihatan Seri Kembangan dipilih untuk projek
perintis itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani
masalah orang ramai beratur terlalu lama untuk mendapatkan nombor
giliran, selain mengelakkan kesesakan di dalam klinik.
IPOH: Aplikasi yang memudahkan orang ramai mendapatkan nombor giliran secara dalam talian ketika mereka hendak mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, aplikasi itu merupakan inisiatif kementeriannya untuk menangani masalah orang ramai beratur terlalu lama untuk mendapatkan nombor giliran, selain mengelakkan kesesakan di dalam klinik.
“Ada yang terpaksa datang 6 pagi dan berdiri sampai ke pintu untuk mendapatkan nombor giliran. Ini langkah kita nak mudahkan pesakit…Sekiranya projek ini berjaya, kita akan kembangkan ke klinik kesihatan lain di seluruh negara.
“Aplikasi ini akan memberitahu nombor giliran terkini. Sebagai contoh sekarang nombor (giliran) 40, jika nombor pesakit 80, dia (pesakit) perlu bersedia,” katanya.
Katanya, Klinik Kesihatan Seri Kembangan dipilih untuk projek perintis itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, sebelum sistem itu diperluaskan ke klinik kesihatan lain.
Selain itu, beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan penyimpanan rekod kesihatan bayi menerusi Mykid bagi mengelakkan maklumat kesihatan hilang.
“Jika menggunakan buku rekod, apabila ia hilang, rekod di dalamnya juga hilang. Sebagai contoh tahun lepas ada kes kematian bayi akibat difteria dan apabila disemak, bayi itu tidak dapat imunisasi yang lengkap kerana buku rekod hilang.
“Jadi, untuk mengelakkan perkara ini berulang, kita akan masukkan maklumat kesihatan di dalam cip (Mykid) dan seterusnya ia disimpan di dalam ‘cloud’,” katanya sambil menambah projek itu akan dilaksanakan segera.
Tambah beliau, sekiranya projek itu berjaya, ia akan diperluaskan untuk Mykad.
No comments:
Post a Comment