KUALA LUMPUR: Susulan tindakan penarikan diri hakim kes rayuan liwat
Datuk Seri Anwar Ibrahim, permohonon bekas ketua pembangkang itu supaya
dibebaskan daripada tahanan ekoran mendakwa tidak mendapat perbicaraan
yang adil akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.
Hakim Datuk Wira Kamaludin Md. Said baru-baru ini membuat keputusan
menarik diri daripada mendengar permohonan Anwar kerana beliau sebelum
ini pernah mengendalikan tiga kes melibatkan bekas Ketua Pembangkang
itu.
Anwar membuat permohonan tersebut dalam saman pemula yang difailkan
pada 9 Jun lalu atas alasan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah
yang dilantik oleh Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan
kononnya tidak bebas dan dipengaruhi dengan wang.
Pada 21 Jun lalu, Hakim Kamaludin memerintahkan Peguam Kanan
Persekutuan, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin memfailkan afidavit bagi pihak
kerajaan.
Afidavit tersebut bagi menjawab saman pemula tersebut dan juga
permohonan penzahiran (discovery) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan Muhammad Shafee supaya mereka mengemukakan penyata
bank dalam tempoh tertentu.
Menerusi permohonan penzahiran itu, Ketua Umum PKR itu menggesa Najib
mendedahkan penyata akaun bank yang dimiliknya antara tempoh Ogos 2013
hingga Oktober 2013 dan Januari 2014 hingga Mac 2014.
Shafee didakwa menerima bayaran sebanyak dua kali daripada Najib, iaitu
pada 11 September 2013 sebanyak RM4.3 juta dan 17 Februari 2014
sebanyak RM5.2 juta.
Dakwa Anwar, bayara itu dibuat kira-kira 18 hari sebelum pendengaran
rayuan pihak pendakwaan terhadap pelepasan dan pembebasannya atas
pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari
Azlan.
No comments:
Post a Comment