GEORGE TOWN: Kementerian Kerja Raya masih belum menerima laporan
mengenai kajian terperinci Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang atau
Jambatan Ketiga yang sepatutnya dihantar pada Jun lepas.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan negeri menerusi
ketua menteri Lim Guan Eng pada Mac lepas telah berjanji untuk
menghantar kajian itu bagi membuat permohonan untuk dua projek
berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini, mereka mendakwa kajian itu sudah siap lebih 80 peratus dan dijangka selesai pada Disember.
Justeru, katanya, selagi laporan kajian itu tidak dihantar kepada pihak
kementerian, projek terbabit tidak boleh mendapat kelulusan daripada
kerajaan Persekutuan.
“Mereka janji, mula-mula Disember, tapi tak selesai, patutnya bulan Jun
inilah. Setakat ini kita belum terima. Mereka yang janji, merekalah
yang patut beri, pihak kami tidak menetapkan tempoh,” kata Fadillah.
Tambah Fadillah, kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada
Kementerian Kerja Raya tahun lepas untuk meminta kelulusan bagi
pembinaan Jambatan Ketiga tanpa mengemukakan apa-apa dokumen sokongan.
Kerajaan negeri juga telah dimaklumkan untuk menyertakan surat sokongan
juga kajian menyeluruh termasuk berkaitan trafik serta impak sosial
untuk proses kelulusan.
Fadillah berkata beliau dimaklumkan bahawa kajian projek telah dilakukan dan bayaran kepada konsultan juga telah dijelaskan.
Tambah Fadillah, sepatutnya projek itu dibuat segera kerana bimbang kos akan meningkat.
Beliau berkata demikian selepas melawat projek menaik taraf jalan
persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Pulau Pinang, Bayan Lepas pada Ahad.
Projek naik taraf jalan persekutuan FT006 berkenaan siap 93 peratus dan
dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada 23 Disember ini.
Katanya, projek meliputi kerja pelebaran jalan daripada dua lorong
sedia ada yang dinaik taraf kepada empat lorong itu merupakan
kesinambungan kepada pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim yang telah
beroperasi.
No comments:
Post a Comment