BANDAR HILIR: Pengundi masyarakat Cina perlu berhenti daripada terus
menjadi mangsa penipuan DAP yang gagal menunaikan janji yang ditabur
mereka kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, itu
berkata pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13, DAP telah
mencanangkan bahawa mereka mampu membela rakyat namun apa yang terjadi
adalah sebaliknya.
“Sudah dua kali (PRU) mereka (DAP) buat demikian, mereka boleh berkokok
tetapi bila (rakyat) beri kuasa di Pulau Pinang mereka tidak boleh jadi
baik daripada kerajaan (Barisan Nasional) yang terdahulu.
“Saya seru kepada pengundi Cina, cukup-cukuplah ditipu DAP, PRU14 nanti
patah baliklah kepada Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap
merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka di Bandar
Hilir di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Umno
Bahagian Kota Melaka Datuk Latiff Tamby Chik dan lebih 1,000 perwakilan
bahagian itu.
Memetik laporan sebuah agensi portal berita, Ahmad Zahid berkata bagi
mendapatkan kembali kepercayaan pengundi Cina pada PRU14, BN terutama
parti komponen MCA dan Gerakan perlu bekerja keras bagi membuktikan
bahawa BN mampu membela nasib pengundi masyarakat itu.
Beliau berkata segala cabaran dan tentangan daripada pembangkang perlu
dipatahkan, malah BN perlu terus bekerja keras daripada sekarang bagi
menghadapi PRU14 bagi mengelakkan parti itu “dijadikan sejarah” oleh
rakyat.
“Saya yakin dengan usaha keras ini kita mampu merampas semula kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang sejak 2013.
“Pada PRU lepas, pihak pembangkang telah memberi cabaran besar kepada
kita lebih-lebih lagi dalam menarik sokongan pengundi namun ia tidak
seharusnya melemahkan semangat anggota BN untuk bangun meneruskan
perjuangan parti,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar anggota Umno jangan menyerah kalah
sekiranya tidak mengecapi kejayaan dan terus berjuang bagi menarik
sokongan pengundi.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan gerak kerja dalam menghadapi
PRU14 perlu menjadi keutamaan bagi setiap anggota Umno berbanding niat
untuk bertanding pada pemilihan parti.
Beliau berkata perkara utama yang perlu menjadi fokus adalah kemenangan
parti pada PRU14 dan beliau tiada sebarang halangan bagi mereka yang
berminat bertanding pemilihan parti akan datang.
“Tidak salah untuk memasang niat kerana sesiapa sahaja layak bertanding
namun mereka perlu memberi penekanan penuh dalam mempersiapkan jentera
dalam menghadapi PRU akan datang.
“Semua anggota Umno jadikan persiapan jentera dan menawan pengundi
lebih utama daripada menyiapkan diri sebagai calon dalam pemilihan parti
akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment