Tuesday, July 25, 2017

Mengapa kami tidak bersama Dr Mahathir


psm-mahathir

Oleh S. Arutchelvan

Ramai yang salah faham atau buat tidak faham apabila PSM menentang Tun Dr Mahathir Mohamad.
PSM tidak menolak Dr Mahathir kerana kami suka bermusuhan, suka balas dendam, tidak tahu memaafkan orang, sudah makan dedak Datuk Seri Najib Razak atau sebab lain yang cuba digambarkan oleh mereka yang tidak suka dengan posisi PSM.

PSM hanya bertanding kurang 3% kerusi Parlimen dan 3% kerusi DUN seluruh negara, maka 97% kerusi bukan di bawah sebarang pengaruh kami.

Tuduhan kami akan pecahkan undi dan lain-lain hanyalah untuk mereka yang tidak faham matematik.
PSM menentang Dr Mahathir kerana pegangan dan posisi beliau dalam pelbagai isu. Sistem dan instutusi korup yang dibawa oleh Dr Mahathir kini disempurnakan lagi oleh anak didiknya bernama Najib.

Antara isu zaman Dr Mahathir adalah:

i. Pengswastaan kemudahan awam, pembukaan tol kepada syarikat Umno.
ii. Penggunaan undang-undang zalim seperti ISA, Akta Percetakan.
iii. Pendirian perkauman.
iv. Isu pekerja, gaji minima, kesatuan sekerja.
v. Penahanan musuh politik termasuk Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Nasir Hashim.
vi. Melemahkan institusi kehakiman, perundangan, polis dan lain-lain.
vii. Sistem kroni dan “bail-out” syarikat milik anaknya, isu Perwaja, skandal tukaran asing.
viii. “Projek IC”.

Rakan seperjuangan kami dalam menentang semua isu ini dulu adalah DAP, PKR dan lain-lain.

Adakah posisi mereka dengan semua perkara diatas kini sudah berubah? PSM masih berpendirian posisi kami dulu dan sehingga sekarang masih sama.

Namun hari ini, Dr Mahathir tidak pernah mengatakan beliau salah dalam mana-mana satu isu di atas dan tidak pernah sekali dalam ratusan sidang akhbar dan ceramah beliau mengatakan beliau sudah insaf atau meminta maaf.

Beliau hanya berkata beliau silap memilih Najib, sebagaimana beliau silap memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekarang beliau dianggap sebagai “top dog” untuk Pakatan Harapan. Adakah ini bererti semua posisi yang diambil dulu oleh beliau betul?

Pembangkang hari ini tidak mahu memfokus kepada isu besar dan hanya mahu melawan isu peribadi Najib dan “cincin Rosmah”. Mereka fokus 1MDB dan seperti kajian Rafizi Ramli, ini bukan isu terbesar di kepala ramai rakyat Malaysia.

Bagi pembangkang, jika pemimpin teratas dibuang, semua di bawah akan jadi betul. Ini tidak berbeza dengan kempen menentang Dr Mahathir dulu.

PSM menentang Najib dan Dr Mahathir atas sebab yang sama. Mereka mendukung sistem yang sama. Adakah PH akan bercerai daripada sistem ini atau adakah Dr Mahathir sendiri sudah buat U-turn.

Sehingga sekarang, Dr Mahathir masih tegas walaupun pemimpin pembangkang lain mengatakan pelbagai alasan mengapa kita perlu sokong Dr Mahathir sekarang.

PSM tidak buat sebarang U-turn, tai chi atau silat lidah. Kami terus berjuang untuk isu seperti tabung pemberhentian kerja, menentang sistem kontrak, mendesak pendidikan dan rawatan hospital percuma, membela isu peneroka, Orang Asli, pekerja ladang, petani dan sebagainya.

Kami tidak pernah meluangkan masa kami mengutuk peribadi Dr Mahathir, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datin Seri Rosmah Mansor, Najib, Mohamad Sabu dan lain-lain.

Kami juga tidak pernah memainkan isu pekauman dan agama untuk jadi popular. Politik kami adalah memajukan aspirasi rakyat majoriti dan pelbagai isu harian mereka seperti isu gaji, perumahan, pengangguran, kesihatan dan lain-lain.

Kami hanya mampu membawa ide dan nafas baharu dalam udara yang tepu.

Kami memilih lawan institusi, politik dan sistem sekarang yang dibawa Najib.

Malangnya kami tidak dapat melihat Dr Mahathir sebagai penyelamat kami kerana beliau adalah sebahagian daripada sistem korup ini!

* S. Arutchelvan ialah setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM).

No comments: