KUALA LUMPUR
– Dalam usaha menyemarakkan rasa cinta umat Islam terhadap kitab suci
al-Quran, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini mengambil inisiatif
menawarkan Kelas Talaqi al-Quran secara percuma.
Ustaz Mohd
Faisal Tan Mutallib, ketua pentadbir masjid itu yang dahulunya dikenali
sebagai Masjid Jamek Kuala Lumpur, berkata kelas Talaqi itu dari Isnin
hingga Khamis bermula pukul 2 hingga 3 petang, juga merupakan platform
terbaik bagi pelajar menimba ilmu yang terkandung dalam al-Quran.
“Selain
belajar teknik bacaan yang betul, makhraj huruf dan penekanan terhadap
hukum tajwid, peserta kelas akan juga diterangkan terjemahan ayat-ayat
yang dibaca,” katanya kepada Bernama.
Mohd
Faisal berkata beliau mendapat ilham untuk menubuhkan kelas yang
dilaksanakan sejak tahun 2013 itu sewaktu menunaikan haji di tanah suci
Makkah beberapa tahun lepas.
Jelasnya, beliau tertarik dengan konsep mengaji dan membaca al-Quran yang diajar di beberapa masjid yang dilawatinya di sana.
Beliau dapati budaya membaca al-Quran cukup tinggi dalam kalangan umat Islam di Makkah.
“Kami
tidak mengenakan sebarang bayaran kepada umat Islam yang mengikuti kelas
ini kerana niat kami ikhlas untuk menyemai minat membaca al-Quran.
“Saya juga
berpesan kepada tenaga pengajar agar tidak mengambil sebarang wang yang
diberi oleh pelajar… jika mereka memberinya juga, wang itu hendaklah
didermakan kepada tabung masjid,” katanya.
Kelas itu
terbuka kepada semua golongan, tetapi mereka yang berumur 40 tahun ke
atas memberikan sambutan yang sangat baik berbanding golongan muda yang
banyak terhad oleh faktor kekangan masa dan kerjaya.
Mohd
Faisal berkata beliau kagum dengan semangat yang ditonjolkan oleh para
pelajar terutama golongan dewasa yang tidak pernah patah semangat untuk
berusaha mendalami ilmu al-Quran.
“Kebanyakan
pelajar mengakui jarang membaca al-Quran ketika mereka bekerja (sewaktu
muda) dahulu menyebabkan pembacaan mereka tidak lancar sedangkan
penting bagi kita untuk sentiasa mengamalkannya,” katanya.”
Seorang
daripada tenaga pengajar, Ab Halim Yatim mengakui berhadapan cabaran
getir sepanjang mengajar di dalam kelas itu kerana berdepan dengan
pelbagai kerenah pelajar yang ternyata menguji tahap kesabarannya.
Beliau
yang telah berkhidmat selama 23 tahun dalam bidang berkenaan berkata
terdapat pelajar yang tidak dapat menyempurnakan bacaan dengan baik
walaupun telah diajar berkali-kali sehingga mereka hampir putus asa dan
menitiskan air mata.
“Namun
saya mempunyai cara tersendiri dengan memberi kata-kata perangsang
selain memuji bacaan mereka kerana saya tidak mahu mereka berhenti
membaca al-Quran,” katanya.
Sementara
itu, Zainab Wali, 64, yang baharu sahaja mengikuti kelas berkenaan
sebulan lepas cukup teruja dapat dibimbing oleh tenaga pengajar yang
mahir dalam bidang bacaan al- Quran selain berjumpa dengan kenalan
baharu di kelas itu.
“Saya
tiada banyak masa mengaji (dahulu) kerana terpaksa bekerja dan menjaga
anak sehingga hampir mengabaikan perkara yang dituntut agama.
“Jadi saya
ambil keputusan untuk belajar di kelas ini kerana saya perlukan
bimbingan untuk mempelajari dan mengasah teknik bacaan saya dengan
betul,” kata ibu kepada tiga anak yang menetap di Pantai Dalam di sini.
No comments:
Post a Comment