KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan lebih
serius dan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani
budaya buli di sekolah dan gengsterism dalam kalangan belia.
Beliau
berkata, ini bagi memastikan kes serangan dan penderaan ke atas seorang
remaja, T. Nhaveen, 18, di Jalan Kaki Bukit, Georgetown, Sabtu lepas
tidak berulang.
“Saya menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku jenayah kejam ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Subramaniam turut mengucapkan takziah kepada anggota keluarga remaja tersebut.
Beliau
berkata, ia sungguh menyayat hati apabila perlakuan ganas dalam kalangan
pelajar boleh menyebabkan kehilangan besar kepada sebuah keluarga, yang
meletakkan pelbagai harapan dan aspirasi terhadap masa depan anak
mereka.
“Kami
bersimpati dengan ibu bapa T. Nhaveen dan anggota keluarga terdekat
mereka. Tiada perkataan dapat menggambarkan kehilangan dan kepedihan
yang dirasai mereka,” katanya.
Remaja itu meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 6 petang, semalam.
Dalam
kejadian pada 2.10 pagi itu, remaja tersebut bersama rakannya, T.
Previin, 19, sedang membeli burger apabila mereka ternampak dua individu
yang dikenali mereka dan mula saling mengejek antara satu sama lain,
sebelum enam lagi individu datang menghampiri.
Kedua-dua
mangsa dipercayai dipukul dengan topi keledar, ditumbuk dan ditendang
oleh kumpulan itu sebelum mangsa yang berusia 19 tahun berjaya melarikan
diri dan memberitahu bapa saudaranya mengenai kejadian tersebut.– Bernama
No comments:
Post a Comment