Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Parti pembangkang negara ini mencapai kata sepakat untuk mengadakan siri jelajah penerangan kemelut penyelewengan 1MDB bermula 6 Julai hadapan di Dewan JKKK Penaga Kepala Batas yang akan berlangsung pada jam 9 malam.
Siri jelajah itu dibuat bagi menjelaskan tentang pendedahan terkini pemfailan ketiga Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat melibatkan kehilangan dana 1MDB berjumlah AS$4.47 bilion yang didakwa diselewengkan.
Pengumuman ini dibuat dalam satu kenyataan bersama ditandatangani pemimpin PKR, DAP, Amanah, PPBM, PSM dan Warisan.
Selain siri jelajah menjelaskan kemelut isu 1MDB kepada orang awam, mereka turut menyenaraikan beberapa langkah yang akan diambil iaitu:
- Mendesak Perdana Menteri mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat sesegera yang mungkin dan membentangkan Kertas Putih Berkenaan 1MDB.
- Membuat laporan bersama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
- Membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) serta menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula.
- Mewujudkan sebuah Jawatan Kuasa Tindakan 1MDB (1MDB Action Committee) yang akan merangka strategi dan respon pembangkang terhadap isu 1MDB ini.
“Jika kerajaan tidak mahu rakyat terbawa-bawa oleh dakwaan DoJ, maka kerajaan harus menjawab segala dakwaan tersebut dengan membentangkan laporan siasatan daripada institusi-institusi siasatan negara melalui Kertas Putih di parlimen.
Justeru, agensi berkenaan seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan PDRM digesa untuk membuka semula siasatan berhubung penyelewengan itu.
“Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya 9 negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun kertas siasatan ditutup oleh semua agensi berwajib Malaysia.
“Kami juga menyeru kesemua parti-parti pembangkang untuk mengenepikan segala perbezaan dan berkerjasama serta bersatu tenaga untuk membawa mereka yang terlibat di dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama pemimpin PH dan pembangkang ini telah ditandatangani oleh Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad, Ahli Parlimen Sg Siput (PSM), Dr Michael Jeyakumar; Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Darell Leiking dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Dato’ Dr Rais Hussin. –Roketkini.com
No comments:
Post a Comment