Oleh Nur Atiqah Samad
SHAH ALAM: Susulan pengharaman rawatan terapi ozon pada Mei lalu,
banyak pusat rawatan alternatif itu terpaksa ditutup sehingga memberi
keresahan kepada pemilik mahupun pengendalinya mengenai nasib dan masa
depan mereka.
Dr Mohd Nasir Sulaiman yang memiliki sebuah pusat terapi berkenaan di
TTDI Jaya meluahkan rasa kesal dengan arahan yang dikeluarkan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedikit sebanyak menjejaskan
sumber pendapatan mereka.
Walaupun akur dan telah memberhentikan operasi pusat berkenaan, tetapi
beliau kecewa dan mendakwa rawatan tersebut diharamkan gara-gara
penyebaran fitnah yang disebarkan di laman media sosial.
Malah beliau yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit
mendakwa, kenyataan-kenyataan berkenaan adalah fitnah semata-mata dan
tiada bukti yang konkrit untuk menyokong kesahihannya.
“Serangan terhadap terapi ozon ni sudah lama, kalau tengok di alam
media sosial begitu banyak yang anti terapi ozon. Tetapi fakta-fakta
yang mereka beri itu banyak yang berunsur fitnah.
"Jadi saya melihat unsur fitnah ni semakin menjadi-jadi terutama sekali
ada yang mengatakan darah masuk ke dalam mesin. Menteri juga buat
kenyataan yang sama, jadi saya merasakan rentetan cerita itu hanya
berdasarkan viral dan tidak mempunyai fakta yang benar sehingga
mempengaruhi orang yang berpengetahuan tapi tidak bijak," luahnya kesal.
Tambah Dr Nasir lagi, yang juga merupakan pengasas My Ozone Technology
bersama dengan jurutera yang memberi fokus kepada penyelidikan dan
mencipta generator ozon buatan sendiri, yakin bahawa tiada lagi kes
darah memasuki mesin-mesin berkenaan dicatatkan sepanjang ia beroperasi
sejak tahun 2000.
Malah ujar beliau, juga tiada kes kematian yang direkodkan selepas mendapat rawatan ini.
"Dia (pihak memfitnah) sendiri tidak tahu macam mana, dia juga buat
kenyataan perkara itu membahayakan dan memudaratkan pesakit. Sedangkan
apa yang kita lakukan salah satunya adalah cuci darah ozon ni. Perkara
ini tidak ada kaitan pun darah masuk dalam mesin sehingga katanya terapi
ozon mematikan orang," tegasnya.
Tambahnya, jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, beliau
adalah pihak pertama yang tampil untuk memberhentikan perkhidmatan itu.
Katanya, mana-mana rawatan sekalipun turut berdepan dengan risiko
kematian dan adalah tidak wajar rawatan terapi ozon sahaja yang
dikenakan tindakan.
“Kita melihat dalam persatuan ni melihat terapi ozon ni mendatangkan
manfaat, kalua tak bermanfaat saya sendiri akan haramkan untuk diri
sendiri. Kenapa saya nak buat sesuatu yang memudaratkan manusia?
"Kalau betul ada yang mati kenapa kita nak buat orang lain mati? Tapi
kalau ikut logik mana-mana rawatan pun ada (risiko) kematian. Jadi
apakah dengan ada kematian kita akan haramkan rawatan tersebut? Tu pun
kalau memang betul ada, ni bila ada fitnah kata mati terus diharamkan,"
katanya kecewa.
No comments:
Post a Comment