Saturday, June 17, 2017

PRK Pujut: Hormati keputusan mahkamah, kata penganalisis [TONTON VIDEO]

Oleh Nur Atiqah Abd Samad & Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik berpandangan semua pihak hendaklah menghormati keputusan mahkamah yang mengekalkan status Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
 
Sehubungan itu, Dr Jeniri Amir berkata Pilihan Raya Kecil DUN Pujut yang dijadual berlaku pada 4 Julai depan tidak sepatutnya berlangsung.
 
Jika tidak katanya lagi, kes yang pertama dalam sejarah politik Malaysia ini dijangka akan memberi implikasi yang besar.
 
"Jadi apa pun keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu perlu dihormati oleh semua pihak, termasuk Barisan Nasional dan DUN Sarawak yang telah mengemukakan usul supaya Dr Ting dilucutkan statusnya sebagai ADUN tempoh hari.
 
"Jadi sudah pasti pilihanraya tidak boleh dijalankan (kerana) mahkamah sudah buat keputusan. Itu perlu di akui oleh semua pihak termasuk SPR, kalau mereka juga teruskan melaksanakan pilihanraya kecil, ini bukan sahaja menunjukkan pihak terbabit tidak menghormati keputusan mahkamah tetapi sebenarnya jelas melakukan penghinaan mahkamah," katanya kepada Antarapos.
 
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan status Tiong Choon sebagai ADUN Pujut dikekalkan.
 
Sekaligus meminta DUN Sarawak mengembalikan status berkenaan kepada Tiong Choon yang dipecat pada 12 Mei lalu.
 
Mahkamah membuat keputusan berkenaan selepas mendapati Tiong Choon tidak diberi ruang sepenuhnya bagi membela diri yang didakwa memiliki kewarganegaraan Australia. 
Selain itu, katanya, Speaker membuat takrifan perundangan yang tidak tepat berkenaan hal kewarganegaraan.
 
Tambah Jeniri lagi, perkara yang tidak sepatutnya berlaku ini berkemungkinan boleh menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, kerana pembangkang boleh menjadikannya ia sebagai isu.
 
"Jika tidak pihak pembangkang dan juga rakyat akan mempunyai tafsiran macam-macam tentang bagaimana mereka cuba gunakan cara yang tidak wajar untuk melucutkan status ADUN itu.
 
"Kerana dari segi hakikatnya seperti yang telah diperkatakan oleh hakim, Wong telah melampaui kuasanya dalam kes ini, jadi saya sendiri fikir bahawa Speaker, bagaimana Speaker yang begitu berpengalaman juga terperangkap dalam kes ini," soal beliau lagi.
 
Tambah Jeniri lagi, beliau percaya akan kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan membatalkan PRK DUN Pujut ini. 
 
Tetapi saya percaya yang SPR akan mengambil keputusan yang sesuai dengan keputusan yang diambil oleh mahkamah tinggi ini dengan tidak meneruskan dengan pilihanraya kecil ini sehinggalah barangkali untuk sementara waktu mungkin tidak akan diadakan," ujar beliau. 



No comments: