Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini tampil
menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak memberikan sebarang
bantuan berhubung permasalahan yang berlaku di rumah-rumah flat sekitar
Selangor khususnya di kawasan beliau.
Khalid malah mendakwa, permasalahan di kebanyakan flat di negeri ini
sudah berlaku sejak berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri
terdahulu dan berlanjutan sehingga sekarang.
"Saya rasa tak betul lah kalau nak kata langsung tak buat apa-apa
tetapi kita tidak menghalang kalau kerajaan pusat nak membantu sebab
memang banyak daripada masalah-masalah tu daripada asal, kita warisi
daripada dulu.
"Sepertimana yang disebut, memang ianya di bawah kerajaan negeri dan
saya rasa apabila kita mula-mula ambil alih flat-flat, di Seksyen 18 pun
memang bermacam-macam masalah dan melalui kerajaan negeri dan pihak PBT
telah banyak kita selesaikan masalah-masalah di situ dan telah pun
dibentukkan JMB (Badan Pengurusan Bersama)," jelasnya ketika dihubungi
Antarapos.
Namun katanya, beliau mengalu-alukan Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar untuk turut
sama-sama membantu penduduk Shah Alam dalam menyelesaikan masalah
perumahan atau persekitaran yang dihadapi mereka.
Malah ujar Pengarah Komunikasi Amanah itu, kerajaan negeri juga tidak
akan menyekat kerajaan pusat untuk turun padang bagi membantu
permasalahan yang dihadapi sesetengah penduduk di negeri tersebut.
"Saya rasa tindakan Tan Sri Noh Omar untuk membantu amat dialu-alukan,
kita pun tak pernah halang kerajaan pusat untuk turun membantu mana-mana
penduduk, tempat atau kawasan.
Kalau mereka datang nak bagi duit, nak bantu dan sebagainya, itu ok,
macam panadol lah tapi penyelesaian yang sebenar perlu tercapai melalui
pembentukan JMB, bayaran maintenance (penyelenggaraan) oleh setiap
penduduk dan kerjasama yang rapat di antara JMB dengan pihak PBT dan
juga program yang dikemukakan oleh kerajaan negeri," katanya.
Reaksi Khalid itu sebagai menjawab dakwaan kononnya kerajaan negeri
dikatakan mengambil sikap lepas tangan dalam menyelesaikan
masalah-masalah yang berlaku di rumah flat sejak beberapa tahun lalu.
Antara masalah yang dihadapi penduduk kediaman berkenaan termasuklah
keadaan tangki air yang uzur sehingga menjejaskan agihan air mencukupi
kepada penduduk dan keadaan lif yang tidak diselenggara.
Nasib penduduk flat itu kemudian mendapat perhatian Noh yang juga
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, yang kemudian tampil memberi
bantuan kepada penduduk yang terlibat bagi menyelesaikan perkara yang
berbangkit.
No comments:
Post a Comment