Friday, June 16, 2017

FGV: Pemuda Umno tidak percaya siasatan Idris Jala?


TINDAKAN Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun meminta Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah menonjolkan wujudnya ketidakyakinan di dalam Umno sendiri terhadap cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguruskan krisis FGV.

 Minggu lalu, PM telah mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai sebagai orang tengah bagi menyelesaikan krisis dalaman pengurusan kanan FGV.

Lebih menakjubkan ialah pada dua hari yang lepas, PM mengumumkan bahawa Idris telah menyiapkan laporannya dalam masa 7 hari sementara SPRM masih bergelut untuk mendapatkan masa untuk menyoal Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.

Terdapat beberapa kemusykilan yang timbul daripada pengumuman PM.

Pertama, apakah laporan Idris itu menyeluruh memandangkan ia dihasilkan dalam waktu yang singkat?

Kedua, di mana Idris mendapat maklumat-maklumat transaksi FGV memandangkan media-media perdana menunjukkan berkotak-kotak dokumen dan fail telah dirampas SPRM?

Ketiga, apakah laporan Idris yang mendahului SPRM sudah memadai untuk membersihkan nama mereka yang terlibat dengan krisis FGV?

Keempat, sekiranya PM bertindak mengikut laporan Idris, dan penyiasatan SPRM kemudian hari pula bercanggah dengan apa yang dilapor Idris, bukankah ini akan memburukkan lagi keadaan dan melewatkan penyelesaian untuk FGV?

Kelima, apakah kemungkinan laporan SPRM terhadap FGV pula diOSAkan jika bercanggah dengan laporan Idris nanti, atau kedua-dua laporan itu diOSAkan seperti laporan audit 1MDB?

Dengan kemusykilan-kemusykilan ini, maka tidak hairanlah mengapa ada pemimpin Umno seperti Khairul yang menyarankan ada pihak ketiga untuk menyiasat FGV kerana masing-masing bimbang akan nasib Umno pada PRU14 kerana krisis FGV telah menggoncang kubu kuat Umno di kawasan Felda.

PAS menggesa PM agar tidak tergesa-gesa untuk mengambil tindakan menentukan hala tuju FGV berdasarkan laporan Idris semata-mata tanpa menunggu SPRM untuk menyiapkan siasatan mereka. PM perlu merehatkan Tan Sri Isa Samad, kerana sebarang cadangan untuk memulihkan FGV tidak akan berhasil tanpa membuang punca masalahnya. 

*Tuan Ibrahim Tuan Man,Timbalan Presiden PAS

No comments: