KUALA LUMPUR:Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan
mengadakan pertemuan dengan petani mempelam harumanis di Perlis, selain
jabatan dan agensi terlibat untuk membincangkan pelan pemasaran
komprehensif tanaman itu.
Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata perjumpaan yang akan
diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri itu juga bagi membincangkan usaha
meningkatkan kualiti dan standard buah tersebut.
"Kita akan membetulkan kelemahan yang ada dalam industri harumanis
seperti isu menuai sebelum buah matang, aspek penggredan buah dan
penentuan harga supaya kita dapat letakkan buah harumanis ini di tahap
atau standard tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri
pelancaran Jualan Khas Pasar Tani Pra-Syawal di Pasar Tani Bukit
Angkasa, Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan
petani mempelam harumanis di Perlis yang mahukan Fama membantu
memasarkan hasil tanaman mereka.
Katanya, Fama selaku agensi yang menyediakan pemasaran pertanian bersedia membantu petani mempelam harumanis.
Malah, jelasnya Fama telah mengadakan pelbagai program termasuk
menyediakan tempat khusus di Lembah Klang untuk pengusaha harumanis
menjual terus buah itu kepada pengguna selain mempromosi makanan
berasaskan isi buah berkenaan.
Ahmad berkata pihaknya turut memberi pilihan kepada petani harumanis
untuk menjual hasil mereka kepada pusat operasi Fama mengikut harga dan
gred tertentu seperti A, B serta C selain menggalakkan rakyat Malaysia
membeli buah-buahan tempatan.
No comments:
Post a Comment