Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa
Mohamed digesa supaya tidak memilih calon berdasarkan jawatan dalam
parti.
Ketua Pembangkang Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah berkata demikian
mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah
yang meminta agar pakatan itu menyusun strategi untuk menang lebih
banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
"Strategi bukanlah penting sangat, sebaliknya calon yang dikemukakan
Umno untuk PRU14. Sikap rakyat di Kelantan lain, berbeza dengan negeri
lain.
"Calon memainkan peranan penting untuk memberi kemenangan kepada Umno.
Maka Mustafa perlu memilih calon yang boleh diterima rakyat, bukan
berlandaskan mereka yang mempunyai jawatan di dalam parti. Kemudian,
kita boleh lihat perubahan yang besar dimana kakitangan kerajaan atau
ketua-ketua jabatan di Kelantan sudah bersedia untuk membantu Umno,"
katanya kepada Antarapos, hari ini.
Tengku Razaleigh sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa BN
mempunyai peluang besar untuk menamatkan pemerintahan selama 27 tahun
PAS di Kelantan pada PRU14 nanti.
Untuk rekod PAS menang sebanyak 32 kerusi DUN, diikuti BN sebanyak 12 kerusi dan PKR satu kerusi sahaja dalam PRU13 yang lalu.
Veteren Umno tersebut percaya rakyat Kelantan dahagakan pembaharuan
selepas melihat kegagalan pentadbiran PAS Kelantan sepanjang tempoh
memerintah.
Baru-baru ini bekas Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali ragu-ragu
dengan kemampuan Umno Kelantan merampas kembali negeri itu meskipun
sedar akan ketidakpuasan rakyat terhadap PAS.
Norzula yang juga ADUN Paloh enggan ambil kisah ketidakyakinan bekas
ahli Parlimen Pasir Mas itu, memandangkan PAS kini dilanda pelbagai
masalah dalaman dan luaran.
"Pengundi sekarang sudah berbeza dari dahulu. Sekarang kita mempunyai
pengundi baru yang ramai, yang boleh merubah keadaan yang dahulu.
Bukanlah satu perkara yang menjadikan asas pengundi sayang kepada PAS.
Tidak.
"Tetapi mereka kini sudah berubah. Pertama kerana ketiadaan pemimpin
mereka yang besar seperti Tok Guru Nik Aziz, malah perpecahan di dalam
PAS. Ini adalah faktir terbesar untuk melihat PAS bukanlah sebesar
mana," katanya.
No comments:
Post a Comment