SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan pengurusan masjid dan surau seluruh Selangor bahawa jemputan imam dari luar negara adalah tidak dibenarkan.
Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, ia termasuk larangan menjemput imam dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand serta lain-lain negara.
“Larangan terpaksa dibuat bagi membolehkan imam tahfiz tempatan menabur khidmat di masjid dan surau Selangor.
“Mereka juga tak kurang kualiti bacaan yang baik, maka bagilah peluang mereka menimba pengalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Menyemarak Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Moreh Masjid dan Surau serta Bantuan Insentif 2017, di Masjid Negeri, baru-baru ini.
Haris berkata, masjid dan surau juga diingatkan untuk mengelak sebarang bentuk penularan pemikiran halus golongan ekstremis, liberalisme, pluralisme dan aliran pemikiran lain yang mampu merosakkan akidah dan perpaduan.
“Penangkapan kumpulan ajaran yang difatwakan sesat membuktikan bahawa memang terdapat pengaruh aliran pemikiran memesongkan.
“Hal ini perlu diberi perhatian serius masyarakat Islam khususnya di Selangor,” katanya.=EZY=
No comments:
Post a Comment