Tuesday, May 30, 2017

Pemuda Amanah buat laporan polis seluruh negara terhadap SPR

 
Nik berkata kemungkinan sesetengah pihak panik dengan peningkatan bilangan pengundi baru.


amanah


KUALA LUMPUR: Pemuda Amanah hari ini membuat laporan polis agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disiasat kerana bimbang campur tangan dalam pendaftaran pengundi baharu.

Pada sidang media di IPD Dang Wangi hari ini, Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Nik Abdul Razak berkata 14 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap SPR.

“Suku pertama 2017 menunjukkan terdapat peningkatan 500% dalam pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat mengundi, berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, tiba-tiba SPR tidak mahu memberikan kami senarai ‘soft copy’, yang saya fikir ia bukan secara kebetulan.

“Ada sesuatu yang mencurigakan dengan apa yang berlaku, dan itulah sebabnya kita membuat laporan polis mengenai perkara itu.”

Beliau berkata terdapat juga kemungkinan sesetengah pihak “panik” dengan peningkatan bilangan pengundi baru, dan dengan itu cuba campur tangan akses pembangkang kepada bahan maklumat, dengan bantuan SPR.

Nik, yang diiringi Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan, berkata terdapat lebih 246,000 pengundi berdaftar baru pada suku pertama tahun ini.

Beliau juga berkata minggu lalu SPR mengaku ia belum memasukkan 28,000 nama yang terdiri daripada pegawai beruniform dan pasangan mereka.

Daripada jumlah itu, 7,000 dari Wilayah Persekutuan, kata Nik.

“Kesilapan ini memalukan. Bagaimana SPR yang berpengalaman luas menguruskan pilihan raya, terlepas pandang 28,000 nama?

“Paling teruk, ada kemungkinan besar wujud salah laku dalam perkara ini. Bagi kita ia sangat mencurigakan. Jadi polis perlu menyiasat ini dengan segera.”

Nik juga berkata walaupun orang ramai masih boleh akses maklumat itu, namun ketiadaan ‘soft copy’ serta syarat yang menetapkan daftar pemilih tambahan hanya boleh dilihat di pejabat SPR menyukarkan pembangkang menyemaknya.

Lebih-lebih lagi pembangkang hanya diberi tempoh 2 minggu untuk mengkaji daftar pemilih tambahan, dan membuat bantahan jika perlu, katanya.

“Kita perlu sama ada mengambil gambar daftar pemilih atau fotostat di sana, dengan mesin fotokopi kita sendiri.

“Tetapi bayangkan, dokumen berkaitan satu kerusi Parlimen mengandungi sekitar 1,000 hingga 1,500 muka surat. Dan kita mempunyai 222 kerusi parlimen, yang bermakna kita perlu fotostat sekurang-kurangnya 222,000 muka surat.

“Itu mustahil untuk dilakukan dalam 2 minggu.”

Apabila ditanya rancangan Pemuda Amanah jika laporan polis tidak membuahkan hasil, Nik berkata mereka merancang untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 6 Jun nanti.

Pilihan terakhir adalah mereka akan menghantar memorandum lain, kali ini kepada Yang di-Pertua Agong dan Majlis Raja-Raja, katanya.

No comments: