Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Seorang Exco PAS Selangor hari ini tampil menyangkal dakwaan
kononnya parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dan
wakil Bebas untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu susulan
keputusan Muktamar PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah, Exco Infrastruktur dan
Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul
Talib menegaskan PAS tetap akan memikul mandat sebagaimana amanah rakyat
yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya lalu.
"Bagi PAS, kita masih memegang mandat rakyat, dan saya kira semua yang
ada dalam kerajaan (negeri) hari ini adalah merupakan kerajaan yang
diberi mandat oleh rakyat atas nama Pakatan Rakyat (PR).
"Sekarang adalah tempoh untuk kita melunaskan amanat dan tanggungjawab itu.
"Sekarang ini kerajaan berjalan dengan baik seperti biasa, dan desas-desus itu merupakan fitnah," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin wujud
gerakan untuk mengambil alih kuasa dalam kerajaan negeri, yang konon
turut disertai beberapa ADUN PKR, ADUN Bebas dan ADUN Umno.
Baru-baru ini tersebar mesej di media sosial menyatakan empat ADUN PKR
akan 'lompat parti' untuk menubuhkan kerajaan campuran yang baru.
Ia semakin bertiup kencang apabila dikhabarkan empat ADUN PKR termasuk
dua ADUN Bebas itu berkunjung ke Istana Selangor pada petang Rabu bagi
menghadap Sultan Selangor untuk menyatakan penarikan sokongan terhadap
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.
Empat ADUN PKR yang dinamakan itu ialah Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN
Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Kota
Anggerik, Yaakob Sapari.
PKR bagaimanapun menepis dakwaan ahlinya bakal 'lompat parti' dan menyifatkan ia agenda Umno-BN.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad
turut menafikan akan berlaku peralihan kuasa di negeri itu susulan
keputusan Muktamar PAS Pusat baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zaidy yang juga ADUN Taman Templer enggan mengulas sama
ada PAS akan mempertimbangkan idea kerajaan campuran di Selangor pada
masa akan datang.
"Kita tak mahu bercakap mengenai 'jika', 'kalau'...sekarang ini
kerajaan masih ada berjalan dengan baik, kenapa kita perlu fikir tentang
'kalau', 'jika' dan sebagainya. Teruskan berkhidmat, rakyat nak lihat
kita bekerja," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment