Lepasan universiti kini perlu berbelanja tinggi untuk pendidikan mereka sebelum memasuki alam kerjaya ditambah dengan bebanan kos sara hidup dan hutang
SHAH ALAM: Graduan muda yang baru memulakan kerja berhak menerima RM3000, demikian pendirian Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon.
Sehubungan itu menurutnya berdasarkan perbelanjaan pendidikan yang tinggi kini, maka golongan tersebut sepatutnya menerima bayaran gaji yang setimpal dengan kelayakan.
“Juga, pelaburan untuk menjadi seorang graduan adalah tinggi maka gaji mereka mestilah selaras dengan tahap pendidikan mereka serta perbelanjaan yang telah dikeluarkan sehingga ke tahap itu.
“Oleh itu gaji yang dibayar bagi para graduan perlu mempunyai kebolehan untuk menampung sara hidup mereka dan bukannya menyebabkan mereka kecewa dan bankrap pada peringkat umur yang muda,” katanya kepada Berita Daily.
Beliau berkata demikian mengulas hasil kajian yang mendapati, hampir semua majikan tidak sanggup memberikan gaji permulaan RM3,000 seperti yang dikehendaki oleh lulusan universiti.
Sebaliknya menurut Jobstreet Malaysia dan Singapura, Chook Yuh Yng seseorang lulusan universiti akan lebih mudah memperoleh kerja sekiranya bersetuju menerima gaji permulaan di antara RM2,000 hingga RM2,200, iaitu jumlah yang diberikan oleh kebanyakan majikan pada hari ini.
Tambah Solomon, penetapan gaji minimum RM1,000 sebulan juga merupakan faktor majikan tidak prihatin kepada keperluan dalam menampung kos sara hidup khususnya bagi generasi muda yang menetap di ibu kota.
“Majikan enggan bayar RM3,000 kerana gaji minima pun masih RM1,000.
Graduan memerlukan gaji permulaan yang lebih tinggi kerana pada umur yang muda mereka sudah terlibat dengan banyak hutang – contoh PTPTN, kad kredit dan pinjaman peribadi atau pinjaman kereta serta kos penginapan dan makan minum kalau tidak tinggal dengan keluarga.
“Kos kehidupan di bandar seperti Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru amat tinggi,” jelas beliau.
Beliau sementara itu menegaskan bahawa penetapan gaji bukan sahaja perlu dipertimbangkan untuk graduan muda menyara hidup malah untuk memastikan gaji yang diterima boleh disimpan selain meningkatkan prestasi sebuah organisasi menerusi motivasi pekerja dari aspek produktiviti.
“Gaji mestilah atau gaji yang mampu menyara kehidupan dengan mengambil kira kos kehidupan, keperluan asasi, ekonomi negara terkini serta baki wang untuk simpanan.
“Kalau majikan bayar gaji yang berpatutan kepada para graduan, majikan boleh tuntut prestasi yang munasabah. Kalau, tidak mahu bayar gaji yang berpatutan maka prestasi organisasi pun tidak akan maju,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment