Bernama
·
SINGAPURA
– Singapura melantik Hakim Gilbert Guillaume, bekas Presiden Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai hakim ad hoc bagi permohonan
Malaysia mendapatkan semakan semula penghakiman ICJ mengenai kedaulatan
Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Dalam
kenyataan hari ini, Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) Singapura berkata
Guillaume pernah menjadi Anggota ICJ dari 1987 hingga 2005 serta
menyandang jawatan presidennya dari 2000 hingga 2003.
Kata kementerian itu, Guillaume kini menjadi Anggota Mahkamah Timbang Tara Tetap.
“Mengikut
Statut ICJ, sekiranya tidak terdapat hakim dari negara yang menjadi
pihak untuk menganggotai Panel Hakim Mahkamah, maka setiap pihak
terbabit boleh memilih seorang hakim ad hoc untuk mengambil bahagian
dalam urusan membuat keputusan tentang kes berkenaan,” katanya.
MFA
berkata Singapura akan memfailkan hujah komprehensif dan mendorong
secara bertulis tentang kebolehakuan permohonan Malaysia menjelang 14
Jun, iaitu had masa yang ditetapkan ICJ.
Pada 2 Feb, Malaysia
memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008
mengenai Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Dalam
kenyataan yang difailkannya, Malaysia menyebut tentang tiga dokumen yang
diubah statusnya baru-baru ini oleh United Kingdom bagi menyokong
permohonan itu.
Dokumen berkenaan ialah surat menyurat dalaman
pihak berkuasa penjajah Singapura pada 1958, satu laporan mengenai
kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958
dan satu peta beranotasi mengenai operasi tentera laut mulai tahun
1960-an.
Dalam penghakimannya, ICJ di The Hague, Belanda,
memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah hak milik
Singapura, kedaulatan Batuan Tengah adalah hak milik Malaysia dan
kedaulatan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan wailayah mana
ia terletak.
Sementara itu, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan
dilaporkan berkata bahawa Singapura yakin mengenai kesnya terhadap
tuntutan Malaysia berhubung Pulau Batu Puteh.
Katanya, pasukan
perundangan Singapura percaya sepenuhnya bahawa tiga dokumen yang
menjadi sandaran Malaysia dalam permohonannya bagi mengubah keputusan
mengenai Pulau Batu Puteh itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan
bagi menapatkan semakan semula penghakiman.
“Kami yakin dengan pasukan perundangan kami dan kes kami,” katanya di parlimen hari ini seperti yang dipetik Channel NewsAsia.
Beliau
berkata setelah mengkaji dengan teliti permohonan Malaysia itu, pasukan
perundangan Singapura percaya dokumen berkenaan tidak memenuhi kriteria
mengikut Perkara 61.
Menurutnya, Singapura komited untuk menyelesaikan isu itu secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.
No comments:
Post a Comment