Mengulas berhubung isu Valet Doa, Jamil Khir berkata, mengingkari arahan mufti juga dianggap sebagai satu kesalahan walaupun tiada fatwa dan undang-undang diperkenalkan
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata mana-mana pihak yang mengingkari arahan mufti telah melakukan kesalahan.
Mengulas berhubung isu Valet Doa, Jamil Khir berkata, mengingkari arahan mufti juga dianggap sebagai satu kesalahan walaupun tiada fatwa dan undang-undang diperkenalkan.
“Perkara ini tidak wajar diamalkan. Tiada fatwa dan undang-undang tidak semestinya jadi peraturan, tindakan mengingkari arahan mufti, boleh diambil tindakan.
“Beberapa mufti sudah tulis, penjelasan jelas, dengan hal berkaitan kesucian Islam untuk tingkatkan pemahaman umat Islam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad bertanya kepada pihak kerajaan sama ada terdapat tindakan diambil terhadap penganjur Valet Doa yang tular sejak beberapa bulan lalu apabila menawarkan perkhidmatan kiriman doa di Mekah dengan beberapa kadar caj tertentu.
Jamil Khir yang juga ahli Parlimen Jerai berkata, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Selangor sudah memanggil penganjur Valet Doa itu dan menasihatinya supaya memberhentikan perkhidmatan tersebut.
“Jais sudah panggil, termasuk mufti, dah jelaskan, dalam jaga kesucian dan amalan Islam.
“Ada unsur amat tidak sihat dalam iklan doa, antaranya, janji bayaran RM250 hingga RM5,000,” kata Jamil Khir lagi.
Jamil Khir berkata, iklan Valet Doa memberi gambaran, doa yang dikirimkan kepadanya akan dimakbulkan.
“Doa ini dipermainkan untuk mengaut keuntungan.”
Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menjalankan pemantauan ke atas akaun laman sosial Facebook Valet Doa tersebut.
Jakim juga katanya menyokong apa jua tindakan yang diambil SKMM dalam membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh menvemarkan kesucian Islam.
No comments:
Post a Comment