Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS dijangka akan mengadakan rundingan agihan kerusi bersama
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya kedua-dua parti itu
berjaya mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Sehubungan itu, Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
meminta parti pembangkang lain terutama DAP dan Amanah untuk menghormati
serta tidak menganggu kerusi tradisi milik mereka yang akan dibahagi
sesama PPBM dan parti dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
"PAS tidak akan berbincang dengan DAP dan Amanah, yang kita ada
perundingan sekarang ni kita masih ada hubungan dengan BERSATU (PPBM)
dan PKR.
"Jadi tiga ni saja kita ada hubungan (IKATAN), kalau apa yang berlaku
samada blok PH, Gagasan Sejahtera sebab dalam PAS ni pun kita kena
bincang dengan (IKATAN) dan beberapa parti lain yang akan bersama PAS.
"Jadi PAS pun terpaksa berbincang kerusi-kerusi tersebut, jadi kita
harap kerusi tradisi PAS tak diganggu. Bukan semua (kerusi) tradisi PAS
ni untuk PAS," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas mengenai perbincangan
agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan PPBM untuk PRU14 pada 28
Februari lalu, yang dibuat tanpa penglibatan PAS.
Namun pertemuan pertama itu gagal dihadiri PPBM, ekoran masih belum memuktamadkan kerusi berpotensi untuk dimenangi.
Pada pertemuan itu, PPBM sepatutnya diwakili Timbalan Presidennya,
Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan naib presidennya, Tan Sri Abdul Rashid
Abdul Rahman.
Agihan sesama PH-PPBM tanpa penglibatan PAS itu, sekaligus memberi
gambaran kemungkinan wujudnya pertembungan tiga penjuru pada pilihan
raya akan datang.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, parti pembangkang lain masih lagi mempunyai lebih 100 kerusi yang bukan milik PAS untuk ditandingi.
"Yang penting mereka memahami PAS dah ada kerusi tradisi dan tak perlu
diganggulah. Jadi kalau dia (pembangkang lain) nak runding ada lagi
lebih 100 kerusi yang PAS tak tanding. Kalau nak runding, mereka tak
perlu ganggu kerusi tradisi PAS," katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan kerjasama PPBM-PAS, Tuan
Ibrahim memberitahu, sikap Tun Dr Mahathir Mohamad 'membantutkan'
peluang sama-sama berganding bahu pada PRU nanti.
"Halangan besar kita ialah sikap dan kenyataan daripada pimpinan
tertinggi PPBM seperti Tun (Mahathir) mengkritik sistem perundangan
Islam, jadi saya fikir benda tu yang kena selesai awal. Kalau kita
berunding, kita tak nak berunding dengan parti yang menyerang
dasar-dasar yang PAS bawa," tegas beliau.
PAS sehingga kini belum memuktamadkan sama ada mahu bersama Pakatan Harapan atau tidak, menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun parti itu berkali-kali menegaskan enggan mengadakan hubungan
politik dengan parti yang menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Amanah.
No comments:
Post a Comment